AM

SPRM Fokus Perkukuh Tatakelola ATM, Pertemuan Dengan MINDEF Rabu Depan

15/01/2026 06:01 PM

PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan pertemuan rasmi dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) minggu hadapan, bagi membincangkan usaha pembersihan isu rasuah dan tadbir urus dalam kementerian itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pertemuan itu, susulan komitmen yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini.

Beliau berkata SPRM menyambut baik dan mengalu-alukan kenyataan menteri pertahanan, yang mahu membersihkan isu rasuah serta kelemahan tatakelola di kementerian berkenaan dan SPRM akan bekerjasama berdasarkan peruntukan Seksyen 7(c) Akta SPRM 2009.

“SPRM akan bekerjasama berdasarkan Seksyen 7(c), ini peruntukan yang dinyatakan di bawah akta kami, mandated ataupun authorised kepada SPRM untuk memberi nasihat dan juga membuat kaji selidik berhubung dengan sebarang kelemahan, isu tatakelola dan sebagainya,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Azam berkata kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan pada Rabu, akan memberi fokus kepada dua perkara utama iaitu membincangkan isu-isu sedia ada yang sedang disiasat dan merangka way forward bagi pembersihan menyeluruh dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“SPRM sedia membantu berdasarkan pertama, hasil daripada siasatan kami dan kedua, berdasarkan maklumat yang telah kita kumpul dan juga siasatan sebelum ini dalam data kami untuk diperbincangkan supaya betul-betul kali ini dapat diperbetulkan mana-mana kelemahan di dalam MINDEF, terutama isu-isu yang melibatkan perolehan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata isu-isu lain seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan ialah isu dalaman dan boleh diselesaikan kementerian sendiri, namun SPRM akan menumpukan kepada aspek rasuah, tatakelola dan penambahbaikan pentadbiran dalam MINDEF.

“Itu menjadi tanggungjawab kami, bukan sahaja kerana saya membuat kunjungan hormat, tetapi kerana menjadi tanggungjawab kami membantu kerajaan dalam membetulkan perkara-perkara yang lemah dan silap,” katanya.

Menjawab soalan media mengenai kemungkinan lebih ramai pegawai kanan MINDEF dipanggil dalam dua siasatan berasingan iaitu OPS Parasit dan OPS Star, Azam tidak menolak kemungkinan tersebut.

“Berkaitan dengan kedua-dua kes itu, saya tidak nafikan yang kita akan memanggil lagi mana-mana yang terlibat. Bila kita siasat, akan timbul banyak perkara-perkara lain. Kita akan memanggil, tetapi bukan masa sekarang,” katanya.

Azam berkata isu-isu tersebut mungkin berbeza daripada perkara yang sedang disiasat ketika ini, justeru SPRM akan memberi tumpuan kepada siasatan yang sudah dimulakan, termasuk siasatan yang bermula pada 7 Okt lepas.

“Selepas kedua-dua kes ini selesai, kita akan mula memanggil yang lain untuk memberi kenyataan atau membantu siasatan," katanya.

Azam turut menegaskan bahawa kes berkenaan adalah sensitif, kerana melibatkan dana awam dalam MINDEF serta pegawai berpangkat tinggi, menjadikannya antara kes penting yang perlu diselesaikan segera.

OPS Parasit merujuk kepada dakwaan penerimaan wang rasuah dan salah guna kuasa yang disyaki melibatkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), membabitkan transaksi kemasukan wang mencurigakan ke beberapa akaun dengan jumlah antara RM40,000 hingga ratusan ribu ringgit.

Siasatan telah dijalankan sejak 23 Dis 2025.

Manakala OPS Star pula merujuk kepada dakwaan bahawa beberapa pegawai tinggi ATM disyaki telah meminta dan menerima rasuah daripada syarikat-syarikat berhubung urusan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan MINDEF.

Selain itu, mereka turut disyaki menyalahgunakan dana TKAT untuk kepentingan peribadi serta aktiviti yang tidak berkaitan dengan tabung berkenaan. Siasatan itu telah dijalankan sejak 7 Okt 2025.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512829