KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Peter Cklamovski percaya penyertaan Malaysia dalam kejohanan Piala ASEAN Hyundai 2026, membuka ruang penting bagi pembangunan dan pengukuhan pasukan kebangsaan.
Beliau berkata kejohanan itu yang berlangsung di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), memberi kelebihan buat pasukan untuk menumpukan usaha membina keupayaan skuad menjelang kejohanan utama akan datang.
“Piala ASEAN memberikan peluang pembangunan yang penting untuk kami.
“… ia akan membolehkan kami fokus kepada pembinaan keupayaan, memberikan pemain antarabangsa yang sedang meningkat pengalaman dan memperkuat haluan pasukan negara dalam mempersiapkan diri untuk kejohanan utama, termasuk Sukan SEA 2027 di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi pasukan Harimau Malaya, Malaysia NT.
Terdahulu, Malaysia diundi bersama Thailand bagi saingan peringkat kumpulan, yang dijadual berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos ini.
Malaysia ditempatkan dalam Kumpulan B bersama tujuh kali juara Thailand, satu undian yang memberi peluang kepada pasukan negara untuk menebus kekalahan 0-1 kepada gajah perang itu di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok pada edisi 2024.
Susunan Kumpulan B diumumkan semasa majlis undian rasmi bagi edisi ke-16 kejohanan itu, yang diadakan di Jakarta hari ini.
Malaysia, yang pernah menjuarai kejohanan ini sekali pada 2010, juga akan berdepan Filipina yang lima kali muncul di separuh akhir, Myanmar (dua kali separuh akhir) dan Laos.
Sementara itu, juara bertahan Vietnam, ditempatkan dalam Kumpulan A bersama empat kali juara Singapura, enam kali naib juara Indonesia, Kemboja dan pemenang perlawanan “playoff” antara Brunei dan Timor-Leste.
-- BERNAMA