JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Sita RM11.4 Juta Aset Milik Bekas PTD

15/01/2026 04:58 PM

PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita barangan bernilai RM11.4 juta dalam siasatan kes rasuah tender perolehan yang melibatkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata aset berkenaan dirampas hasil risikan dan maklumat siasatan di dua lokasi, masing-masing sebuah rumah di Kuala Lumpur dan Besut, Terengganu.

Menurutnya, antara barangan disita ialah wang tunai berjumlah RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta serta sebuah kereta Range Rover SVR bernilai RM360,000.

Katanya turut disita 26 unit jam tangan mewah bernilai RM2.3 juta, pelbagai barangan kemas bernilai RM294,039.90, dua cincin berlian berharga RM20,000, jongkong emas seberat 3.7 kilogram bernilai RM2.5 juta, medalion emas  seberat 150 gram bernilai RM102,000 serta dua dinar emas seberat 8.5 gram bernilai RM5,780.

"Sebanyak 75 akaun syarikat dengan jumlah keseluruhan RM32.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Azam menegaskan semua barangan kes dan aset bernilai jutaan ringgit yang dirampas dalam siasatan berkenaan akan dicadangkan untuk dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan demi manfaat rakyat.

Katanya SPRM sedang menyiapkan permohonan pelucuthakan mengikut prosedur mahkamah bagi memastikan semua aset berkenaan dapat diserahkan secara sah kepada kerajaan.

“Kami mahu semua barangan yang dirampas ini dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan, namun ia tertakluk kepada keputusan Timbalan Pendakwa Raya serta kelulusan mahkamah mengikut Seksyen 41 Akta SPRM 2009," katanya.

Pada 7 Jan lepas, bekas PTD bersama dua isterinya ditahan SPRM berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat dan keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari, manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari. 

Bekas PTD itu kemudian dilepaskan daripada tahanan reman pada 12 Jan lepas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512834