AM

Reformasi MADANI Perlu Lebih Daripada Pendekatan Rutin, Kata Anwar

15/01/2026 11:59 PM

PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Malaysia perlu melakukan lebih banyak usaha untuk memastikan reformasi di bawah kerangka MADANI benar-benar berakarkan kepada keadilan, integriti dan prinsip moral, dengan menekankan bahawa kemajuan tidak boleh hanya bergantung pada pendekatan rutin semata-mata, tetapi memerlukan penyelesaian terhadap kegagalan sistemik yang berakar umbi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar yang kelihatan retorik tetapi bersifat hipokrit dalam amalan, pasti akan bertentangan dengan ideal keadilan, kehormatan dan kebebasan yang didakwa mahu ditegakkan dan menegaskan bahawa reformasi sebenar mesti berpaksikan keyakinan, keberanian dan konsisten.

Anwar pada Kuliah MADANI yang diadakan di sini hari ini berkata menjadi benar-benar “mengakar ke bumi” menuntut melepasi pendekatan rutin, sambil mengakui bahawa walaupun sistem sedia ada bukan kegagalan total, banyak punca asas ketidakadilan dan rasuah telah dikenal pasti dengan jelas dan kini mesti ditangani dengan tegas.

Beliau berkata agenda reformasi Malaysia di bawah kerangka MADANI, memberi penekanan yang tinggi terhadap tatakelola dan pembanterasan rasuah sistemik yang diwarisi dari masa lampau, sambil menyebut bahawa negara ini sejak sekian lama dikenali pada peringkat antarabangsa berkaitan dengan skandal kewangan 1MDB.

Perdana Menteri berkata tindakan penguatkuasaan baru-baru ini, termasuk langkah yang belum pernah terjadi sebelum ini untuk mendakwa ketua angkatan tentera, mencerminkan keberanian berasaskan keyakinan dan tekad kerajaan untuk menegakkan akauntabiliti, walaupun menghadapi cabaran politik dan institusi.

“Tiada negara yang sekaya manapun, boleh kekal kuat atau memperbaiki pendidikan, kesihatan awam dan infrastruktur jika berbilion hilang melalui rasuah,” kata Anwar sambil menekankan bahawa tatakelola baik mesti disertai dengan imbangan moral dan etika, untuk memastikan pembangunan negara yang mampan.

Dari segi ekonomi, Perdana Menteri berkata Malaysia kini memposisikan dirinya sebagai hab pelaburan yang sedang berkembang, khususnya dalam teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, pendigitalan dan peralihan tenaga, sambil memperkukuh keterhubungan serantau melalui inisiatif infrastruktur utama, termasuk projek kabel rentas sempadan dan bawah laut yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kemajuan ekonomi dan pembangunan teknologi tidak boleh mengorbankan identiti dan nilai. Anwar menekankan bahawa negara ini bukan berpihak secara eksklusif kepada Timur atau Barat dan mesti memelihara asas budaya, rohani dan moralnya.

Dalam konteks ini, Perdana Menteri berkata falsafah “menggapai langit, mengakar di bumi” perlu menjadi panduan pembangunan negara, terutamanya dalam bidang pendidikan, dengan pencarian ilmu, teknologi dan inovasi baharu mesti berakar kukuh dalam tradisi, akidah, akhlak dan nilai-nilai murni.

Beliau berkata kerajaan telah memperkenalkan pelan pendidikan tinggi baharu, yang bertujuan mengintegrasikan pencapaian ilmu dengan kebenaran, kebaikan dan kebijaksanaan, sambil menegaskan bahawa kecemerlangan akademik tanpa nilai hanya akan menghasilkan pertentangan dan kegagalan moral.

Berita lanjut menyusul.

Anwar berkata tanggungjawab generasi muda terhadap pendidikan adalah sangat penting, dengan menyatakan bahawa kecemerlangan dalam pembelajaran bukan sahaja menjadi kewajipan terhadap diri sendiri dan keluarga, tetapi juga terhadap masyarakat, negara dan umat Islam.

Perdana Menteri berkata Islam menggalakkan pembelajaran berterusan, sikap rendah diri dan pemikiran kritis dan tidak boleh disempitkan kepada pemahaman yang cetek atau pendedahan yang terhad.

Sementara itu, Kuliah MADANI turut menampilkan penceramah terkemuka Sheikh Dr Tahir Wyatt, yang menurut Anwar, penglibatannya dengan golongan muda mencerminkan kepentingan penguasaan ilmu yang mendalam, kebijaksanaan dan asas etika dalam menangani cabaran kontemporari.

Terdahulu, dalam sesi kuliahnya selama 30 minit, Sheikh Dr Tahir Wyatt menekankan bahawa kejayaan sebenar menurut Islam bukan diukur melalui pencapaian duniawi, tetapi melalui penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.

Wyatt berkata bahawa ayat al-Quran untuk “tidak mati melainkan sebagai seorang Muslim” sebenarnya satu arahan untuk hidup dalam keadaan sentiasa berserah kepada Allah, kerana tiada seorang pun yang mengetahui bila kematian akan tiba. Beliau juga menekankan bahawa penyerahan diri ini sukar terutamanya bagi mereka yang memiliki ego yang tinggi.

“Orang sering menolak kebenaran bukan kerana kekurangan bukti, tetapi kerana kesombongan menghalang mereka untuk berserah. Namun, dengan iman, penyerahan diri menjadi sumber ketenangan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan umat Islam bahawa selain tanggungjawab individu, umat Islam mempunyai tanggungjawab kolektif untuk terus bersatu.

Sheikh Dr Tahir Wyatt merupakan seorang penyelidik kanan dan pensyarah dalam kajian Islam dan perbandingan agama. Beliau memeluk Islam pada usia 15 tahun.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512981