DUNIA

Lelaki Ditahan Tikam Dua Orang, Seorang Maut, Semasa Proses Pengusiran Di Tokyo

15/01/2026 09:56 PM

TOKYO, 15 Jan (Bernama-Kyodo) -- Seorang lelaki ditahan pada Khamis kerana menikam dua lelaki, seorang daripadanya maut, yang datang ke pangsapurinya di Tokyo untuk melaksanakan perintah pengusiran mahkamah, menurut polis, lapor Kyodo News.

Lelaki berusia 40 tahun itu, yang dikenali sebagai Hiroshi Yamamoto, ditahan beberapa ratus meter dari pangsapuri terletak di Wad Suginami atas dakwaan cubaan membunuh. Sebilah pisau dapur ditemui di lokasi kejadian.

Mangsa yang maut adalah  seorang pekerja syarikat jaminan sewa manakala seorang lagi mangsa adalah pegawai penguat kuasa mahkamah yang cedera namun berada dalam keadaan sedar. Kedua-duanya berusia dalam lingkungan 60-an.

Lelaki itu dilaporkan tertunggak bayaran sewa pangsapurinya, menurut sumber siasatan. Dia mengaku melakukan perbuatan itu dengan berkata, “apabila sedar bakal kehilangan tempat tinggal, saya menikam kedua-duanya sambil berfikir untuk membunuh diri,” menurut sumber berkenaan.

Panggilan kecemasan yang melaporkan kejadian dibuat kira-kira 10.15 pagi.

Apabila dua lelaki itu tiba di pangsapuri berkenaan, mereka melihat suspek memegang sebuah kotak yang mengeluarkan asap. Ketika mereka cuba melarikan diri ke jalan, suspek menikam pegawai mahkamah di bahagian dada dan seorang lagi lelaki di bahagian belakang, menurut polis.

Kebakaran turut berlaku di dalam bilik selepas lelaki itu menyalakan silinder gas dapur mudah alih, kata polis.

Mahkamah Daerah Tokyo, yang menghantar pegawai penguat kuasa itu dalam satu kenyataan menyifatkan insiden itu sebagai “amat dikesali” dan akan mempertimbangkan beberapa langkah bagi memastikan keselamatan ketika pelaksanaan penguatkuasaan pada masa hadapan.

-- BERNAMA-KYODO

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512960