KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Bernama) -- Sebuah syarikat kuari dan seorang jurutera masing-masing didenda RM25,000 dan RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku membenarkan sekumpulan pendatang tanpa izin masuk atau tinggal di dalam premis mereka.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM25,000 ke atas Syarikat East Rock Ajil Sdn Bhd dan RM20,000 kepada Ahmad Zulhairi Alias, 34, selepas masing-masing mengaku bersalah ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.
Syarikat East Rock Ajil Sdn Bhd, yang diwakili pengurusnya iaitu Muhammad Zulfikri Mohd Zaky, 43, didakwa membenarkan lima imigran haram berusia antara 35 hingga 55 tahun masuk atau tinggal di dalam premisnya di Jalan Kuala Terengganu-Jerangau, Hulu Terengganu pada 16 Nov lepas.
Ahmad Zulhairi pula didakwa melakukan kesalahan serupa melibatkan empat imigran haram berusia antara 28 hingga 36 tahun pada 3 Dis lepas di sebuah tapak pembinaan di Bukit Bidong, Merang dekat Setiu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau kedua-duanya bagi setiap pendatang tanpa izin yang dijumpai di premis masing-masing.
Nazlyza memerintahkan kedua-dua pihak didenda sebanyak RM5,000 bagi setiap pendatang tanpa izin yang dibawa masuk atau tinggal di premis mereka, dan jika gagal membayar denda itu, hukuman tiga bulan penjara akan dikenakan.
Kedua-dua tertuduh membayar denda itu.
-- BERNAMA