Oleh Mohd Zaidi Mohd Noor
DUNGUN, 14 Jan (Bernama) -- Penduduk di daerah Dungun terutama di kawasan luar bandar kini merasai suhu yang agak luar biasa terutama pada waktu pagi sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Malah, suhu sejuk antara 18 hingga 20 darjah Celsius itu menyaksikan penduduk terpaksa memakai jaket tebal bagi memanaskan badan.
Tinjauan Bernama di Kampung Pasir Raja di Hulu Dungun di sini yang bersempadan dengan Jerantut, Pahang pada pagi tadi mendapati keadaan persekitaran berkabus, namun penduduk menjalankan aktiviti mereka seperti biasa.
Selain itu, suasana di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja yang terletak di kampung itu turut kelihatan seumpama berada di Tanah Tinggi Cameron Highlands, Pahang apabila kebanyakan murid hadir ke sekolah memakai baju sejuk.
Guru Besar SK Pasir Raja Mohd Nor Azizi Kamarudin berkata keadaan cuaca sejuk itu mula dirasai sejak hari pertama persekolahan pada Ahad lepas.
“Kawasan persekitaran kampung berhampiran sekolah juga berkabus pada waktu pagi berikutan penurunan suhu udara,” katanya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.
Mohd Nor Azizi berkata suhu yang direkodkan di sekolah itu serendah 18 darjah Celsius pada 7 pagi Ahad lepas, manakala pada hari berikutnya kira-kira 20 darjah Celsius.
Berikutan itu, pihak sekolah menggalakkan murid memakai baju sejuk sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kesihatan mereka terjejas.
Bagaimanapun, beliau bersyukur rekod kehadiran semua 43 murid di sekolah itu penuh setakat hari ini.
Seorang murid, Muhammad Fakhril Aryan Mohd Firdaus, 11, berkata ibunya terpaksa bangun awal sepanjang minggu ini dan menjerang air panas untuk dia mandi sebelum ke sekolah.
“Saya tidak boleh mandi menggunakan air paip kerana terlalu sejuk dan sebelum ini tidak pernah mengalami cuaca sesejuk itu,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Chung Jing Xiang berkata cuaca sejuk di Terengganu sehingga suhu mencecah 18 darjah Celsius sejak Ahad lepas, berpunca daripada kehadiran luruan sejuk pada Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda kawasan Pantai Timur.
Fenomena itu berlaku apabila angin Timur Laut yang berasal dari benua Siberia bergerak ke rantau ini.
“Angin ini pada asalnya bersifat sejuk dan kering, namun apabila melalui Laut China Selatan, ia menyerap wap air dari permukaan laut lalu menjadi lebih lembap. Angin itu dikenali sebagai luruan sejuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chung berkata berdasarkan rekod suhu di Terengganu, cuaca lazimnya kembali kepada biasa antara Februari hingga Mac.
-- BERNAMA