MELAKA, 15 Jan (Bernama) -- Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Melak dijangka akan selesai diserahkan kepada semua penerima pada hujung bulan ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, walaupun terdapat kebimbangan dalam kalangan ibu bapa memandangkan jumlah penerima dan wang tunai yang banyak, perkara tersebut dapat ditangani dengan baik oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka.
“Nampaknya proses pengagihan berjalan lancar, tersusun, dan ibu bapa khususnya memberikan kerjasama yang baik. Jadi itu sedikit sebanyak mempermudahkan proses pengagihan, dan insya-Allah semua bantuan akan selesai diagihkan sebelum hujung bulan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Kementerian Pendidikan peringkat Melaka 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong, yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor, di sini hari ini.
Kerajaan Persekutuan sebelum ini memperuntukkan sebanyak RM23.3 juta bagi BAP di Melaka tahun ini, melibatkan 155,406 penerima daripada kalangan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah.
BAP diagihkan kepada murid dan pelajar bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.
-- BERNAMA