AM

KUSKOP, KDN Perkukuh Kerjasama Bendung Penyalahgunaan Visa Sosial, Lindungi PMKS

15/01/2026 11:45 AM

PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi komited dalam memastikan tindakan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan visa lawatan sosial dilaksanakan dengan segera menerusi kerjasama rapat antara Kementerian Dalam Negeri serta agensi berkaitan.

Menteri berkenaan Steven Sim berkata beliau akan bekerjasama rapat dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan susulan dilaksanakan dengan segera.

"Langkah itu penting bagi melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta peniaga kecil tempatan selain memastikan ekosistem keusahawanan negara kekal teratur dan berdaya saing," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Malaysia mengalu-alukan kehadiran pelancong dan pelabur ke negara ini namun undang-undang serta peraturan negara mesti dipatuhi oleh semua pihak tanpa pengecualian.

Kerajaan, katanya, akan memperketat tindakan penguatkuasaan termasuk memantau warga asing yang menyalahgunakan visa lawatan sosial untuk bekerja atau berniaga secara tidak sah susulan peningkatan aduan daripada peniaga tempatan.

Sim berkata beliau telah membangkitkan isu itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam susulan kebimbangan pelbagai pihak khususnya PMKS serta peniaga kecil yang terkesan dengan kegiatan tersebut.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512644