JENAYAH & MAHKAMAH

PPM Rampas Peranti Vape Bernilai RM178,400 Di Langkawi

15/01/2026 11:36 AM

ALOR SETAR, 15 Jan (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi merampas pelbagai jenis peranti rokok elektronik (vape) dianggar bernilai RM178,400 yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran dalam satu operasi di kawasan terusan anak sungai Kampung Ewa, Ayer Hangat, di Langkawi awal pagi semalam.

Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Supt Fakharuddin Amri Sanusi berkata rampasan itu dilakukan kira-kira 1 pagi menerusi Op Taring Landai hasil risikan Unit Risik Marin (URM) Langkawi dengan kerjasama Balai Polis Ayer Hangat.

Beliau berkata pemeriksaan di kawasan paya bakau berhampiran anak sungai berkenaan menemukan beberapa kotak mencurigakan yang disusun dan ditinggalkan tanpa pengawasan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kotak-kotak itu mengandungi pelbagai produk rokok elektronik (vape) daripada pelbagai jenis dan perisa.

“Bagaimanapun, tiada individu ditemui di lokasi kejadian dan tiada tangkapan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fakharuddin, antara barangan yang dirampas ialah 3,140 unit RELX Pod Pro 2, 230 unit RELX Smash Go, 1,710 unit RELX Creator Pod, 120 unit RELX Novo, 140 unit RELX Essential 2 dan 50 unit RELX Infinity 2 Plus selain beberapa unit peranti vape pelbagai model, warna dan perisa.

Beliau berkata kesemua barangan rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Langkawi sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Daerah Langkawi untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 berkaitan kesalahan memiliki atau menyimpan barang larangan yang disyaki diseludup.

Fakharuddin menegaskan Pasukan Polis Marin Diraja Malaysia komited membanteras kegiatan penyeludupan dan akan terus mempergiat rondaan serta operasi bagi menjamin keselamatan perairan negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512635