GAYA HIDUP

Daripada Kamera Ke Aplikasi: Jurugambar Bina Platform Digital Untuk Usahawan Kreatif

15/01/2026 11:03 AM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

GEORGE TOWN, 15 Jan (Bernama) -- Bermula dengan kamera di tangan dan tekad untuk terus bertahan ketika negara dilanda pandemik COVID-19, langkah kecil seorang jurugambar solo akhirnya berkembang menjadi sebuah platform digital yang berpotensi mengubah landskap ekonomi kreatif tempatan.

Daripada sekadar menerima upah fotografi akad nikah secara kecil-kecilan, Muhamed Helmy Samsudeen kini tampil sebagai pengasas One Click Hub, sebuah aplikasi inovatif yang memberi nafas baharu kepada usahawan dan penggiat industri kreatif di Pulau Pinang.

Pada usia 31 tahun, anak jati ibu kota itu berkata perjalanan kerjayanya dalam dunia fotografi bermula pada 2020 selepas menamatkan pengajian Diploma Perniagaan di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur sebelum mengambil keputusan berhijrah ke Pulau Pinang demi mencari peluang dan ruang baharu.

Mesra disapa Helmy, beliau berkata idea membangunkan One Click Hub tercetus hasil perbincangan mendalam bersama-sama dengan bekas Exco Pulau Pinang Datuk Seri Abdul Halim Hussain, mengenai hala tuju dan cabaran yang dihadapi usahawan tempatan khususnya dalam sektor kreatif.

“Datuk Abdul Halim ada satu misi, iaitu melahirkan sekurang-kurangnya seorang usahawan dalam setiap keluarga, dan apabila saya berbincang dengan beliau tentang hala tuju saya, saya kongsikan idea One Click Hub, dan beliau sangat menyokong," katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya di sini.

Sebagai seorang penggiat ekonomi kreatif, Muhamed Helmy tidak terlepas daripada melalui detik sukar untuk mengembangkan perniagaan ekoran ketiadaan platform khusus yang benar-benar memahami dan memfokuskan keperluan unik industri kreatif.

Beliau berkata kebanyakan usahawan terpaksa bergantung pada platform umum seperti Facebook dan Google yang tidak direka khas untuk memenuhi keperluan ekonomi kreatif tempatan, terutama di Pulau Pinang.

“Daripada keperluan itu, lahirlah One Click Hub, sebuah aplikasi yang berfungsi sebagai hab digital sehenti untuk menghubungkan orang awam dengan penggiat industri kreatif,” katanya.

pic-2

Muhamed Helmy berkata platform berkenaan direka untuk mengumpulkan usahawan dalam sektor perkhidmatan dan kreatif di bawah satu aplikasi digital yang interaktif dan mesra pengguna, sekali gus memudahkan mereka mempromosikan perkhidmatan, berkongsi portfolio serta berhubung terus dengan pelanggan secara dalam talian.

Pengasas perniagaan Helmy Samsudeen itu berkata One Click Hub bukan sahaja membantu usahawan kecil dan perniagaan digital, malah membuka peluang pemasaran lebih luas kepada pencipta kandungan, pereka grafik, jurusolek, pengusaha katering dan pelbagai lagi penggiat industri kreatif.

Muhamed Helmy berkata aplikasi itu membolehkan pengguna mencari, membanding dan menempah perkhidmatan kreatif seperti jurugambar, juruvideo, artis media dan lain-lain melalui satu platform, dengan konsep yang diibaratkan seperti aplikasi tempahan sedia ada tetapi berfokus sepenuhnya pada ekonomi kreatif.

Katanya antara syarat utama menyertai platform itu ialah semua peniaga wajib berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi memastikan hanya perniagaan sah dan berdaftar ditawarkan, sekali gus melindungi pengguna daripada penipuan.

“Bagi pengguna awam, pendaftaran adalah mudah dan percuma, hanya menggunakan nombor telefon dan pengesahan OTP tanpa kata laluan. Pembangunan One Click Hub dibiayai sepenuhnya menggunakan dana peribadi saya dengan kos melebihi RM20,000 tanpa sebarang geran atau dana luar setakat ini,” katanya.

Katanya One Click Hub turut dilengkapi fungsi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu mengurus tempahan dan tarikh penyerahan kerja secara automatik, selain menyediakan fungsi sembang langsung (live chat) yang merekodkan semua perbualan sebagai rujukan.

"Sebagai contoh, jika seorang jurugambar berjanji menyiapkan hasil dalam tempoh tujuh hari, sistem AI akan merekodkan perjanjian tersebut dan menghantar peringatan automatik kepada peniaga dan pelanggan sehingga tugasan diselesaikan,” katanya.

Muhamed Helmy berkata prapelancaran One Click Hub telah dilakukan pada 2024 bagi memperkenalkan idea dan konsep aplikasi itu kepada orang ramai dan komuniti usahawan, dengan sambutan yang amat menggalakkan, namun beliau mengambil masa lebih panjang bagi tujuan penambahbaikan sistem.

Beliau menerusi Helmy Sam Photography yang ditubuhkan pada November 2020, juga aktif dalam industri perfileman dan terlibat dalam pelbagai projek termasuk kerja prapromosi, tayangan perdana gala, tayangan peminat serta promosi jelajah jalan raya bagi filem seperti Blood Brother, 6 Jilake, Telaga Suriram, Keluang Man dan Banduan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512630