AM

Kanak-kanak Lelaki Lemas Ketika Mandi Sungai Bersama Tiga Rakan

14/01/2026 06:42 PM

KOTA BHARU, 14 Jan (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan lemas di sungai berhampiran Jambatan Bunut Payong di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim Penolong Penguasa Bomba Ahmad Fakarudin Berahim berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan kanak-kanak itu di sungai berkenaan pada 3.07 minit petang dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

“Mangsa dan tiga rakannya dipercayai berpakat datang mandi di sungai itu selepas habis waktu sekolah.

“Ketika mandi, seorang daripada rakannya hampir lemas dan mangsa cuba menyelamatkan rakannya itu,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun mangsa kemudian didapati tenggelam dan gagal dikesan manakala rakan lain berjaya menyelamatkan diri.

Ahmad Fakarudin berkata empat anggota bomba yang melakukan pencarian berjaya menemukan mangsa di dasar sungai kira-kira 4.25 petang dan mayat dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512434