HONG KONG, 14 Jan (Bernama-Xinhua) -- Hong Kong akan melaksanakan usaha sepenuhnya bagi menangani kesan susulan kebakaran maut di sebuah kompleks perumahan serta melancarkan reformasi sistematik untuk menambah baik keselamatan bangunan dan kawalan kebakaran, kata Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) John Lee, pada Rabu.
Lee membuat kenyataan itu ketika berucap pada mesyuarat pertama Majlis Perundangan penggal kelapan dan beliau memperincikan respons kerajaan terhadap insiden kebakaran berkenaan, lapor Xinhua.
Polis Hong Kong dan pihak berkuasa antirasuah menahan beberapa individu kerana dipercayai menyebabkan kematian tanpa niat dan rasuah. Biro Pembangunan pula mengarahkan semua jaring perancah di bangunan yang sedang diselenggara ditanggalkan serta menyemak semula sistem kelulusan dan pemeriksaan bagi jaring berkenaan, kata Lee.
Sementara itu, kerajaan HKSAR melaksanakan pelbagai subsidi dan langkah bantuan bagi menyokong penduduk yang terjejas. Sebuah jawatankuasa bebas turut ditubuhkan untuk menyiasat punca kejadian dan menentukan akauntabiliti, dengan laporan dijangka dikemukakan dalam tempoh sembilan bulan, kata Lee.
Beliau sekali lagi menegaskan yang kerajaan HKSAR akan mengambil kira syor jawatankuasa berkenaan, melaksanakan reformasi sistematik dan memperkenalkan langkah penambahbaikan bersasar merentasi pelbagai sektor.
Kebakaran maut itu tercetus pada 26 Nov lalu, memusnahkan tujuh bangunan di kompleks perumahan Wang Fuk Court di daerah Tai Po, Hong Kong.
-- BERNAMA-XINHUA