AM

Muzium Agop Batu Tulug Kinabatangan Simpan Khazanah Purba Orang Sungai

14/01/2026 05:01 PM

Oleh Suraidah Roslan

KINABATANGAN, 14 Jan (Bernama) -- Gua batu kapur Agop Batu Tulug, yang mencecah ketinggian 39 meter, bukan sekadar tapak sejarah yang menyimpan keranda kayu balak purba, malah turut menjadi antara produk pelancongan di daerah ini.

Menurut masyarakat setempat, gua Agop Batu Tulug yang terletak 35 kilometer dari pekan daerah Kinabatangan, dianggap sebagai tempat perlindungan terakhir komuniti etnik Orang Sungai terdahulu yang dipercayai mendiami kawasan tebing Sungai Kinabatangan sejak sekian lama dan kini dijadikan sebagai muzium sejarah.

Keunikan muzium berkenaan bersandarkan penemuan lebih 125 keranda yang diperbuat daripada kayu belian yang tersusun rapi di tiga gua utama, iaitu Agop Sawat (Gua Atas), Agop Litanga (Gua Tengah) dan Agop Suriba (Gua Bawah).

Ketua Pejabat Muzium Agop Batu Tulug John Semuel@Samuel, 59, berkata meskipun terdapat pelbagai legenda dan mitos tentang penemuan keranda itu, hingga kini kesahihannya masih belum dapat dibuktikan secara saintifik.

Beliau berkata penemuan keranda yang berusia antara 500 hingga 900 tahun itu sering dikaitkan dengan pengaruh pedagang luar, terutamanya dari China, namun setakat ini tiada bukti kukuh yang menyokong fakta berkenaan.

“Penempatan keranda di kawasan gua yang tinggi dipercayai bertujuan untuk mengelakkan keranda itu dihanyutkan arus banjir memandangkan masyarakat dahulu membina petempatan di sepanjang tebing sungai.

“Keranda yang diukir teliti memaparkan motif flora dan fauna termasuk kepala haiwan seperti 'tembadau' atau kerbau dipercayai milik golongan bangsawan, manakala keranda tanpa ukiran di Agop Litanga pula untuk orang biasa,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Selain gua berkenaan yang dipercayai ditemukan pada 1984, beliau berkata keranda kayu balak purba turut dijumpai di 12 tapak lain di pantai timur Sabah antaranya Gua Gumantong, Batu Supu, Miasis Darat, Agop Sarupi dan Gua Madai di Kunak, dengan anggaran keseluruhan melebihi 2,000 keranda.

John yang telah berkhidmat di muzium itu selama 27 tahun berkata hingga kini, tiada sebarang perancangan untuk mencalonkan tapak berkenaan sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Agop dalam bahasa etnik Orang Sungai bermaksud gua, manakala tulug ialah tempat tidur yang merujuk kepada tempat persemadian.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Muzium Negeri Sabah Aldofus Lester John Milip berkata bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2025, Jabatan Muzium Negeri Sabah akan memperhebat usaha promosi bagi mengetengahkan muzium berkenaan sebagai antara destinasi pelancongan utama di Sabah.

“Kerja-kerja menaik taraf kemudahan telah siap sepenuhnya dan muzium ini dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada Februari ini setelah ditutup sejak Mei 2023,” katanya.

Menurut beliau, sejak berada di bawah pengurusan Jabatan Muzium Negeri Sabah pada 1996, Agop Batu Tulug telah melalui proses transformasi sebagai muzium tapak sejarah yang membolehkan generasi masa kini menghayati nilai dan ruang sejarah secara lebih dekat.

“Kami mahu memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan memelihara budaya unik ini. Sebagai langkah lanjut, kami turut bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menjalankan kajian arkeologi berkaitan penemuan keranda kayu balak purba ini,” katanya.

Beliau berkata Muzium Agop Batu Tulug bukan sekadar tempat menyimpan keranda, tetapi sebuah naratif tentang penghormatan, kepercayaan dan jati diri masyarakat Orang Sungai yang perlu terus dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512377