EKONOMI

PMI Pembuatan Asean Bertambah Baik Pada Disember - S&P Global

05/01/2026 12:45 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Sektor pembuatan di seluruh ASEAN bertambah baik pada Disember 2025, disokong oleh pengeluaran yang kukuh, pesanan baharu dan keyakinan perniagaan yang semakin meningkat, menurut Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan ASEAN oleh S&P Global.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, S&P Global berkata sektor pembuatan ASEAN menutup 2025 dengan prestasi suku tahunan terkuat dalam tempoh empat tahun, meskipun momentum pertumbuhan sedikit mereda berbanding November.

“Walaupun momentum pertumbuhan sedikit mereda, seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan pengeluaran dan pesanan baharu yang lebih sederhana, pengembangan secara keseluruhannya kekal kukuh,” katanya sambil menambah sentimen perniagaan mengukuh ke paras tertinggi dalam tempoh 10 bulan.

S&P Global berkata sektor itu berkembang untuk bulan keenam berturut-turut pada Disember, dengan PMI utama berkurangan kepada 52.7 daripada 53.0 pada November dan ia menyamai paras Oktober.

“Walaupun sedikit menurun, ia terus mencerminkan peningkatan yang berterusan dan kukuh ketika beroperasi serta berada dalam kalangan paras tertinggi yang pernah direkodkan,” katanya.

Ia berkata peningkatan terbaharu itu dipacu oleh pertumbuhan pengeluaran dan pesanan baharu yang kukuh walaupun sedikit sederhana, manakala penyusutan dalam pesanan eksport baharu berterusan tetapi menjadi lebih sederhana pada Disember.

Dalam pada itu, aktiviti pembelian meningkat untuk bulan kelima berturut-turut apabila pengeluar memberi tumpuan kepada penyumberan bahan mentah dan barangan separa siap, dengan S&P Global menyatakan kadar pertumbuhan itu adalah yang terkuat dalam tempoh lebih dua setengah tahun.

Kadar guna tenaga terus berkembang setiap bulan sejak September, dengan penciptaan pekerjaan yang sederhana tetapi merupakan yang terpantas sejak Februari.

S&P Global berkata syarikat juga melaporkan tempoh purata penghantaran yang lebih panjang daripada pembekal untuk bulan keempat berturut-turut pada Disember.

“Rantaian bekalan yang terhad, pertumbuhan pekerjaan yang perlahan dan perniagaan baharu yang meningkat telah membawa kepada pengumpulan tunggakan kerja yang berterusan, walaupun kadar peningkatannya menjadi lebih sederhana berbanding rekod tinjauan pada bulan sebelumnya,” katanya.

Mengenai harga, S&P Global berkata inflasi kos input meningkat dengan ketara dan secara keseluruhan menyamai kadar yang boleh disaksikan pada November, manakala inflasi caj pengeluaran kekal tidak berubah dan berada pada tahap sederhana.

“Kedua-dua petunjuk harga itu lebih lemah berbanding purata masing-masing,” katanya.

Ia menambah pengeluar ASEAN kekal optimis terhadap prospek pengeluaran untuk 12 bulan akan datang.

“Tahap keyakinan seterusnya telah bertambah baik sejak Oktober, bergerak ke arah purata tinjauan jangka panjang,” kata S&P Global.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2508850