JENAYAH & MAHKAMAH

Pesara Rugi RM462,000 Terperdaya Sindiket Penipuan Telefon

01/01/2026 06:35 PM

GEORGE TOWN, 1 Jan (Bernama) -- Seorang pesara swasta kerugian RM462,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai wakil syarikat e-dompet dan pegawai polis, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Aziziee Ismail berkata wanita berusia 58 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada seorang lelaki pada 5 Dis lepas yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat berkenaan.

Beliau berkata individu itu mendakwa terdapat pengeluaran wang mencurigakan daripada akaun yang didaftarkan atas nama mangsa, namun dinafikan wanita itu sebelum diarah membuat laporan polis secara dalam talian.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan telah menyoal siasat mangsa serta meminta butiran peribadi kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aziziee berkata individu itu mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan pengedaran dadah, selain dimaklumkan satu waran tangkap telah dikeluarkan atas namanya.

Beliau berkata panggilan seterusnya disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar pegawai polis di Bukit Aman dan mengarahkan mangsa bekerjasama dengan menyerahkan semua maklumat perbankan miliknya.

“Suspek turut mengarahkan mangsa memindahkan semua wang simpanan ke dalam akaun Maybank miliknya sendiri. Pada 10 Dis, mangsa telah memindahkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM460,000 ke akaun berkenaan,” katanya.

Aziziee berkata mangsa kemudian diarah mengeluarkan wang tunai RM230,000 dan menyerahkannya bersama kad ATM kepada individu yang mendakwa wakil Bank Negara Malaysia (BNM) kononnya bagi tujuan siasatan.

Beliau berkata pada tarikh sama, mangsa telah menyerahkan wang tunai dan kad ATM itu kepada seorang lelaki tidak dikenali di tepi jalan sekitar Batu Ferringhi dan mangsa hanya menyedari ditipu selepas menceritakan kejadian berkenaan kepada adiknya pada 22 Dis lepas sebelum membuat semakan dengan bank.

“Semakan mendapati terdapat pengeluaran wang RM232,000 secara berperingkat daripada akaunnya dan mangsa kemudian tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507986