AM

Tempoh Perkhidmatan Mufti Perak Berakhir Semalam

01/01/2026 08:02 PM

IPOH, 1 Jan (Bernama) -- Tempoh perkhidmatan Mufti Perak Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh, yang dilantik memegang jawatan itu pada 1 Ogos 2022, berakhir semalam.

Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan bahawa beliau telah diraikan dalam satu majlis perpisahan membabitkan kakitangan jabatan berkenaan.

Menurut jabatan itu, Wan Zahidi ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan sempat menitipkan pesanan bahawa kerjaya dalam bidang kefatwaan adalah sebahagian daripada dunia dakwah yang luas.

"Percayalah ia akan membawa kita ke dunia yang lebih jauh," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim pula merakamkan penghargaan atas sumbangan dan kepimpinan Wan Zahidi sepanjang menerajui institusi kefatwaan di negeri berkenaan.

Wan Zahidi menggantikan Tan Sri Harussani Zakaria yang meninggal dunia pada 30 Mei 2021 di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semasa mendapatkan rawatan kerana jangkitan COVID-19.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2508016