Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 1 Jan (Bernama) -- Seramai 13 orang dilaporkan maut manakala beratus-ratus lagi, termasuk ramai kanak-kanak, jatuh sakit selepas meminum air paip yang tercemar di tengah India.
Pesakit yang mengalami cirit-birit dan muntah-muntah dikejarkan ke beberapa hospital di Bandar Indore, negeri Madhya Pradesh, selepas menggunakan air daripada saluran paip bekalan perbandaran.
Pegawai perbandaran mengesyaki sisa kumbahan mungkin telah bercampur dengan air minuman berpunca daripada kebocoran pada saluran paip di Bhagirathpura, sebuah kawasan kejiranan miskin.
Penduduk dan waris mangsa memberitahu media tempatan bahawa air yang berbau busuk telah dibekalkan ke kawasan itu sejak seminggu yang lepas.
Ketua Menteri Madhya Pradesh Mohan Yadav dan Menteri Kabinet Kailash Vijayvargiya melawat mangsa yang sedang menerima rawatan di hospital pada Rabu.
Bagaimanapun, timbul kontroversi apabila Vijayvargiya secara sinis memberitahu seorang wartawan televisyen supaya tidak bertanya "soalan tidak berguna" apabila disoal mengenai situasi berkenaan pada Rabu. Video konfrontasi itu kini tular di media sosial.
Pelbagai laporan media menyatakan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan lebih 1,000 orang jatuh sakit.
Menteri berkenaan tidak mengesahkan angka kematian pada Khamis tetapi menyatakan jumlah kemasukan pesakit ke hospital kini semakin berkurangan.
"Saya tidak dapat mengulas mengenai jumlah kematian pada masa ini," katanya kepada pemberita.
Vijayvargiya berkata 100 katil disediakan di sebuah hospital manakala sebuah wad penuh dengan kapasiti 100 katil di hospital lain telah dikhaskan untuk merawat mereka yang terjejas akibat pencemaran itu.
Kerajaan negeri telah berjanji untuk memberikan pampasan sebanyak 200,000 rupee (kira-kira RM9,000) kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia.
-- BERNAMA