Oleh Nur Aimidiyana Zuher
KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) berfungsi sebagai mekanisme perundangan untuk membendung penularan maklumat berbahaya dengan menetapkan tanggungjawab khusus terhadap penyedia platform dan perantara digital, sebaliknya bukan untuk menghukum pengguna.
Peguam Muhammad Akram Abdul Aziz berkata akta itu digubal bagi menjamin keselamatan pengguna dalam ruang siber, khususnya daripada ancaman kandungan berisiko tinggi seperti penipuan digital, eksploitasi seksual kanak-kanak, buli siber dan penyebaran maklumat yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam.
“Apa yang penting, sebarang sekatan perlu dibuat berdasarkan kriteria yang jelas dan munasabah agar hak kebebasan bersuara tidak dinafikan secara ‘total’, namun tindakan boleh diambil terhadap kandungan yang jelas berbahaya atau berisiko tinggi, selain memastikan pandangan, kritikan dan perbahasan awam yang sah terus terpelihara," katanya ketika dihubungi Bernama.
ONSA yang diwartakan pada 22 Mei lepas dan berkuat kuasa hari ini memperkenalkan kerangka kawal selia yang lebih proaktif dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada platform untuk mengurus kandungan berisiko tinggi, termasuk bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, kandungan lucah, kandungan sumbang dan kandungan berkaitan kemudaratan diri.
Menurut beliau persepsi terhadap sekatan kebebasan bersuara boleh timbul sekiranya pelaksanaan akta itu tidak dilakukan secara telus, maka penguatkuasaan ONSA memerlukan latihan dan garis panduan jelas bagi mengelakkan tindakan melampau.
Berkongsi pendapat, peguam Siti Nor Syahidah Ismail berkata akta itu tidak memadamkan kebebasan bersuara atau menutup ruang bersuara, sebaliknya meletakkan sempadan munasabah agar hak tersebut tidak disalahgunakan, selain mengawal penyebaran maklumat berbahaya melalui pendekatan tadbir urus platform dan pengurusan risiko.
"ONSA adalah undang-undang yang lebih menumpukan kepada perlindungan keselamatan pengguna berbanding menyekat kebebasan bersuara. Anggapan bahawa akta ini bertujuan mengehadkan suara rakyat adalah tidak benar dan tidak selari dengan realiti sebenar ancaman digital hari ini. Ancaman sebenar ialah isu penipuan atau scam, eksploitasi kanak-kanak dan kandungan berunsur 'hate speech'.
"Ini dapat dilihat dengan jelas apabila akta ini meletakkan kewajipan undang-undang secara langsung terhadap penyedia platform untuk melaksanakan langkah pencegahan yang munasabah," katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Geethan Ram Vincent berkata tanpa kawalan yang telus dan seimbang, ONSA boleh menimbulkan risiko penapisan berlebihan terhadap wacana awam yang sah, walaupun objektif utama adalah untuk perlindungan keselamatan pengguna.
Beliau berkata ONSA lebih menekankan perlindungan keselamatan pengguna, namun implikasinya terhadap kebebasan bersuara perlu diurus dengan berhati-hati selaras dengan prinsip Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Kebebasan bersuara wajar dihadkan hanya setakat yang perlu dan berkadar bagi melindungi keselamatan dalam talian, khususnya untuk mencegah keganasan, penipuan, dan pelanggaran hak orang lain selaras dengan Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Pelaksanaan ONSA wajar kerana ia menyediakan kerangka khusus untuk menangani ancaman siber yang semakin kompleks, namun kewajarannya bergantung kepada pelaksanaan yang telus dan berprinsip. Pengawasan berterusan oleh badan bebas amat penting bagi memastikan akta ini digunakan selaras dengan objektif keselamatan tanpa menjejaskan hak kebebasan bersuara,” kata peguam itu.
Senada dengan Geethan, peguam Nursyafiqah Mohd Desa berkata pelaksanaan akta berkenaan merupakan antara usaha kerajaan dalam melaksanakan kawalan dan penapisan terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat tanpa menyekat hak kebebasan bersuara.
Beliau berkata kebebasan (bersuara) tidak bersifat mutlak kerana ia tertakluk kepada Perkara 10(2) memperuntukkan bahawa kebebasan bersuara perlu diimbangi dengan tanggungjawab serta perlindungan terhadap keselamatan negara, ketenteraman awam, moral dan hak-hak serta keistimewaan tertentu.
“Oleh itu, prinsip yang sama turut diaplikasikan dalam konteks kebebasan bersuara melalui penggunaan Internet dan media sosial. Tahap interaktif serta kebebasan dalam penggunaan Internet dan media sosial merupakan satu bentuk hak dan liberalisasi masyarakat untuk membahaskan, membincangkan serta berkongsi pandangan dan maklumat.
“Walau bagaimanapun, kebebasan ini seharusnya diuruskan dengan penuh tanggungjawab serta berlandaskan nilai moral. Justeru, kewujudan penapisan serta kawalan oleh pihak kerajaan adalah perlu bagi memelihara keselamatan, ketenteraman dan moral negara serta masyarakat," katanya.
Nursyafiqah berkata pelaksanaan akta berkenaan tidak bermakna hak masyarakat akan disekat atau ditindas, malah ia bukan bertujuan menafikan kebebasan bersuara masyarakat, sebaliknya memastikan kebebasan tersebut digunakan secara bertanggungjawab dan selamat.
-- BERNAMA