AM

Alam Flora Kutip 3.2 Tan Sampah Di KL Pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 

01/01/2026 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mengutip kira-kira 3.2 tan sampah di tiga lokasi utama sekitar ibu negara sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, berkurangan kira-kira 11 peratus berbanding 3.6 tan pada tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata operasi pembersihan itu melibatkan kawasan tumpuan awam utama iaitu Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan kawasan sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Beliau berkata operasi berkenaan bermula pada 10 malam dan berakhir 8 pagi tadi bagi memastikan bandar raya kembali bersih serta selesa untuk menyambut tahun baharu.

Shariman Yusuf berkata KLCC mencatatkan jumlah kutipan sampah tertinggi sebanyak 1.4 tan, diikuti Bukit Bintang (1 tan) dan Dataran Merdeka (0.8 tan).

“Bagi memastikan kelancaran operasi, 152 anggota kerja digerakkan merangkumi petugas pengurusan, pasukan prapembersihan, pemandu dan pekerja am di lokasi utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiga unit lori kompaktor digunakan bagi menyokong operasi kutipan sisa pepejal selain pancuran air bertekanan tinggi untuk membersihkan kaki lima, khususnya di kawasan tumpuan orang ramai.

Shariman Yusuf berkata sebanyak 36 unit tong sampah mudah alih berkapasiti 660 liter dan 25 unit berkapasiti 240 liter turut ditempatkan di kawasan strategik bagi memudahkan pelupusan sampah secara lebih teratur.

Secara keseluruhan, beliau memaklumkan kutipan sampah tahun ini berada dalam keadaan terkawal, khususnya di Bukit Bintang.

“Jumlah kehadiran orang ramai di setiap lokasi berbeza bergantung kepada pilihan mereka untuk berkumpul bagi meraikan sambutan tahun baharu, namun pasukan kami sentiasa bersedia untuk menguruskan kutipan sampah secara cekap tanpa mengira jumlah kehadiran,” katanya.

Shariman Yusuf berkata operasi itu mencerminkan dedikasi berterusan Alam Flora, yang merupakan sebahagian daripada Malakoff Environmental Solutions (Malakoff), terhadap kelestarian alam sekitar dan kebersihan bandar, selari dengan misi syarikat untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau.

“Inisiatif ini juga selaras dengan komitmen Malakoff terhadap operasi yang bertanggungjawab, berpandukan tonggak perniagaan kumpulan serta aspirasi Malakoff Environmental Solutions yang memberi tumpuan kepada pengurusan alam sekitar dan menyediakan penyelesaian yang didedikasikan untuk masyarakat dan kelestarian bumi,” katanya.

Beliau berkata usaha itu juga seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bertujuan menjadikan bandar dan penempatan masyarakat yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan serta sejajar dengan tujuan menyeluruh Malakoff iaitu Enhancing Life, Enriching Communities.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507962