GEORGE TOWN, 1 Jan (Bernama) -- Kutipan Zakat Majlis Agama Islam Pulau Pinang hampir mencapai sasaran RM200 juta seperti ditetapkan bagi 2025, sekali gus melepasi kutipan tahun lepas iaitu sebanyak RM172.8 juta.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata sehingga menjelang 2026, sebanyak RM196.54 juta kutipan telah direkodkan merangkumi zakat harta berjumlah RM187.65 juta dan zakat fitrah sebanyak RM8.89 juta.
Beliau berkata jumlah sebenar kutipan dijangka melepasi sasaran RM200 juta selepas pelarasan akaun dalam tempoh dua minggu dengan jumlah rasmi akan dimuktamadkan pada 17 Jan ini.
“Peningkatan melebihi 10 peratus ini adalah bukti kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap integriti MAINPP yang ditekankan oleh kepimpinan dan pengurusan MAINPP serta Zakat MAINPP.
“Pencapaian ini juga hasil usaha bersepadu dan pengembelengan tenaga semua pihak termasuk pengurusan MAINPP, pengurusan dan warga kerja Zakat MAINPP selaku agensi pelaksana, rakan strategik serta sokongan berterusan daripada masyarakat Islam dan korporat di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata peningkatan kutipan itu turut didorong oleh tahap kesedaran pembayar zakat yang semakin tinggi susulan keyakinan mereka terhadap pelaksanaan pelbagai program pembangunan asnaf oleh MAINPP di negeri ini.
Beliau yakin melalui perancangan strategik, penambahbaikan sistem perkhidmatan zakat serta kempen kesedaran berterusan, MAINPP mampu merealisasikan iltizamnya untuk memanfaatkan kutipan zakat bagi memperkasakan asnaf menerusi program pembangunan ekonomi, pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan ummah seperti digariskan dalam Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 Negeri Pulau Pinang (APAI2030).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pembayar zakat atas kepercayaan dan komitmen yang diberikan serta mengajak seluruh umat Islam di negeri ini untuk terus menunaikan zakat melalui MAINPP.
-- BERNAMA