KUCHING, 31 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 380 orang melibatkan 97 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 197 mangsa pagi tadi.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, semua mangsa melibatkan kawasan Taman Desa Wira dan Kampung Sinar Budi Baru berhampiran Kuching, dengan pemindahan dilakukan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Mangsa di PPS Dewan Masyarakat Stapok meningkat kepada 199 orang daripada 53 keluarga, manakala di PPS Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru menempatkan 181 mangsa daripada 44 keluarga,” menurut kenyataan JPBN hari ini.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi beberapa kawasan di Sarawak bermula hari ini hingga esok.
Antara kawasan dijangka terkesan termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong.
Sementara itu, mangsa banjir di Segamat, JOHOR menunjukkan peningkatan kepada 120 orang daripada 35 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 83 orang daripada 26 keluarga pagi tadi.
Pengerusi JPBN Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman dalam kenyataan berkata peningkatan itu susulan pembukaan dua PPS baharu pada 10 pagi ini.
Beliau berkata dua PPS itu adalah Balai Raya Kuala Paya yang menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga dan Balai Raya Kampung Sanglang melibatkan 14 mangsa daripada empat keluarga.
Sementara, dua PPS yang beroperasi sejak Ahad lepas ialah Dewan Serbaguna Kampung Tasek yang menempatkan 43 mangsa daripada 14 keluarga serta Balai Raya Kampung Batu Badak yang melibatkan 40 mangsa daripada 12 keluarga.
Di MELAKA, mangsa banjir kekal dengan 36 mangsa membabitkan lapan keluarga pada 4 petang ini, menurut aplikasi InfoBencanaJKM.
Menurut aplikasi berkenaan, kesemua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu selepas kediaman mereka di Kampung Parit Perawas Benteng dan Kampung Tasek Benteng terjejas akibat banjir, dipercayai berpunca daripada limpahan air Sungai Rambai.
Di PAHANG, banjir di Rompin pulih sepenuhnya selepas kesemua 81 mangsa daripada 21 keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Rompin memaklumkan PPS Balai Raya Kampung Setajam, Rompin yang dibuka pada Isnin lepas bagi menempatkan penduduk terjejas banjir ditutup pada 10.30 pagi tadi.
-- BERNAMA