JENAYAH & MAHKAMAH

Penguasaan AI, Profesionalisme Dan Kesejahteraan Rakyat Panduan PDRM Depani Cabaran 2026 - KPN

31/12/2025 11:31 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menyeru warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus menghayati tiga fokus utama digariskan agensi itu sebagai teras pelaksanaan tugas sepanjang 2026 bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

Beliau berkata tiga fokus berkenaan ialah mengoptimumkan teknologi moden kecerdasan buatan (AI) dalam operasi penguatkuasan undang-undang, mengukuhkan profesionalisme dan integriti dalam kalangan anggota sebagai benteng terhadap gejala rasuah serta salah guna kuasa, dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Selain itu, kesejahteraan masyarakat dan warga pasukan akan terus menjadi keutamaan selari dengan nilai ihsan dalam prinsip Malaysia MADANI, yang menekankan sifat bertanggungjawab dan empati dengan memberikan tumpuan kepada aspek kebajikan pada segenap lapisan masyarakat demi kemaslahatan bersama.

“Saya berharap permulaan tahun baharu ini akan menjadi pemangkin utama untuk memperbaharui iltizam dan iktikad kolektif kita, seterusnya mengukuhkan perjuangan dengan penuh dedikasi demi mempertahankan kedaulatan negara,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2026 menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas pencapaian PDRM sepanjang 2025, Mohd Khalid berkata tahun berkenaan menyaksikan pelbagai peristiwa penting yang menguji kesiapsiagaan dan ketahanan pasukan itu dalam menjaga ketenteraman awam serta keselamatan negara termasuk pengendalian acara berprestij antarabangsa.

Mohd Khalid berkata kejayaan penganjuran Asia International Security Summit and Expo (AISSE’25) dan PDRM Special Dialogue (PSD) adalah manifestasi jelas komitmen PDRM dalam memperkukuh jaringan kolaborasi serta perkongsian amalan terbaik dengan agensi-agensi keselamatan antarabangsa, selain meningkatkan kapasiti pasukan dalam menghadapi ancaman keselamatan di peringkat global.

Beliau berkata kejayaan kawalan keselamatan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober lepas, yang menghimpunkan pemimpin utama dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat adalah cerminan profesionalisme dan kredibiliti PDRM pada mata dunia.

Dalam pada itu, Mohd Khalid menegaskan PDRM kekal komited memastikan setiap siasatan dijalankan secara telus, adil dan berhemah tanpa sebarang kompromi atau campur tangan pihak berkepentingan.

“Ini adalah manifestasi kesungguhan PDRM dalam menegakkan kebenaran, menolak persepsi skeptikal, serta memastikan pencapaian prestasi cemerlang melalui siasatan dan penyelesaian kes yang cekap dan berkesan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507797