AM

Jumlah Bencana Kecil Meningkat 34.1 Peratus Kepada 228 Kejadian Pada 2024

31/12/2025 02:11 PM

PUTRAJAYA, 31 Dis (Bernama) -- Jumlah keseluruhan bencana kecil pada 2024 meningkat sebanyak 34.1 peratus iaitu kepada 228 kejadian daripada 170 yang direkodkan bagi tahun sebelumnya, menurut Statistik Alam Sekitar 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perubahan iklim terus memberi kesan kepada negara pada tahun lepas, mengakibatkan pelbagai impak alam sekitar serta peningkatan kejadian bencana seperti banjir, ribut, tanah runtuh dan kebakaran.

“Antara negeri yang merekodkan bilangan kejadian bencana tertinggi adalah Terengganu dan Perak, masing-masing dengan 28 kejadian diikuti Pahang dan Selangor dengan 24 kejadian.

“Banjir kekal sebagai bencana utama dengan mencatatkan 218 kejadian atau 95.6 peratus daripada keseluruhan kejadian bencana di Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir, ribut, tanah runtuh dan kebakaran meningkat sebanyak 28.8 peratus kepada 259,841 orang berbanding 201,712 pada 2023.

Mengenai kes demam denggi, beliau berkata ia berkurangan sebanyak 0.6 peratus kepada 122,423 kes pada 2024 berbanding 123,133 kes bagi tahun 2023, dan antara negeri yang merekodkan penurunan ialah Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (termasuk Putrajaya) serta Kedah.

“Selain itu, bilangan kes malaria di semua negeri turut menurun kepada 2,384 kes berbanding 3,629 kes pada tahun sebelumnya… antara negeri yang merekodkan pengurangan kes malaria ialah Sabah (1,254 kes), Sarawak (599 kes) dan Kelantan (124 kes),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507574