KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Ambang tahun baharu 2026 disambut meriah di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti, termasuk pertunjukan bunga api yang memukau dan acara kerohanian.
Tinjauan Bernama di ibu negara mendapati Pavilion Kuala Lumpur, bangunan ikonik Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan Menara Kuala Lumpur menjadi antara tumpuan orang ramai bagi meraikan tahun baharu yang diserikan dengan pertunjukan bunga api yang mewarnai ruang udara ibu kota.
Di hadapan Pavilion Kuala Lumpur, berlangsung penganjuran Visit Malaysia 2026 Countdown Festival, menandakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) membuka tirainya secara rasmi.
Festival yang disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, menyaksikan persembahan yang menggabungkan pertunjukan bunga api pyromusical, unjuran laser serta paparan 3D anamorfik ikonik, selain pelbagai persembahan kebudayaan dan hiburan dengan penglibatan artis terkenal seperti Shila Amzah, Aina Abdul, Belle Sisoski, Vanessa Reynauld, Kidd Santhe, The Kuans dan KLP48.
Rhythm of KLCC 2026 yang diadakan di Esplanade KLCC pula meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung yang tidak ingin melepaskan peluang menyaksikan pertunjukan bunga api dan 'tower light show’, serta persembahan artis ternama tanah air seperti Datuk Zainal Abidin, Misha Omar, Hafiz Suip, Nikki Palikat, Joe Flizzow dan Sonaone.
Di PUTRAJAYA, kedatangan 2026 disambut dalam suasana berbeza apabila ribuan jemaah memilih pengisian rohani, doa dan ilmu menerusi Program Gema Syukur 2026 yang diadakan di Masjid Putra sejak petang tadi.
Pada sebelah malam pula, diadakan bacaan surah Yasin dan doa selamat, tadabbur al-Quran, podcast (audio siar) “Membina Ummah Rahmah”, Selawat Munajat serta bacaan doa keberkatan bagi menyambut awal tahun 2026.
Di MELAKA, sambutan majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 yang diadakan bersama Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, Klebang, dihadiri lebih 40,000 pengunjung.
Majlis penuh warna-warni yang dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu, diserikan pelbagai persembahan, termasuk zapin 1,000 penari, dua ikon irama tradisional Melayu, Fauziah Gambus dan Haziq Rosebi serta persembahan istimewa oleh Rejimen Gerak Khas.
Pada majlis itu, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima anugerah Ikon Seni dan Budaya Melaka, komposer dan pencipta lagu Senandung Anak Melaka Mohd Fauzi Mohammad atau Siso dinobatkan Tokoh Pemerkasaan Seni Tradisional Melaka, manakala Duta Setiakawan Pelancongan Melaka Datuk Fan Bingbing menerima anugerah Ikon Diplomasi Budaya Antarabangsa Melaka.
Di PERAK, lebih 30,000 pengunjung membanjiri Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya, Ipoh seawal 8 malam bagi menyaksikan sambutan tahun baharu peringkat negeri yang dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dengan acara kemuncak pengiraan detik ambang tahun baharu dan laungan tahun baharu berserta pertunjukan bunga api.
Sambutan dimulakan dengan persembahan tarian kebudayaan dan nyanyian oleh selebriti popular, iaitu Siti Nordiana, Afieq Hazwan serta dihoskan oleh Fadzli Fuad atau lebih dikenali sebagai Ahfad.
Sementara itu, di NEGERI SEMBILAN, lebih 20,000 pengunjung membanjiri Dataran Nilai sejak 6 petang bagi menyertai sambutan ambang tahun baharu yang dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk konsert, persembahan nasyid, cabutan bertuah serta deretan gerai jualan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut merasmikan majlis penutup NS Fest, sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api selama lebih 10 minit.
Di KELANTAN, Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud serta beberapa barisan exco negeri bersama hampir 5,000 pengunjung menunaikan solat isyak dan solat sunat hajat secara berjemaah, disusuli dengan bacaan ayat suci al-Quran dan persembahan alunan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.
Majlis yang diadakan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid yang menyampaikan Tausiah (nasihat) Ambang Tahun Baharu 2026 'Anak Muda Berselawat'.
Di SARAWAK, cuaca hujan sejak Selasa di Kuching tidak menghalang keterujaan ribuan warga Sarawak dan pelancong untuk menyertai Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 peringkat negeri yang berlangsung meriah, dengan kemuncaknya pertunjukan bunga api berwarna-warni Tebingan Kuching.
Sambutan berkenaan diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Orang ramai mula membanjiri kawasan Tebingan Kuching seawal 4 petang bagi menyaksikan pelbagai acara hiburan, termasuk persembahan artis tempatan dan antarabangsa seperti kumpulan KRU, penyanyi tersohor dari Sarawak Dayang Nurfaizah serta bintang terkenal Indonesia Judika, pada sebelah malam.
Di TERENGGANU, ambang tahun 2026 diraikan dengan pelbagai aktiviti kerohanian melalui program Malam Munajat Terengganu yang berlangsung di Stadium Tertutup di Kompleks Sukan Negeri di sini.
Selain solat maghrib dan isyak secara berjemaah, lebih 2,000 pengunjung termasuk para pemimpin kerajaan negeri berzikir dan berselawat di samping mengikuti program Bicara Murabbi: Indahnya Hidup Bersyariat, yang menampilkan pendakwah terkenal sebagai panel serta persembahan nyanyian daripada kumpulan nasyid undangan.
Di KEDAH, lebih 10,000 pengunjung membanjiri Tasik Darulaman di Jitra sejak 3 petang untuk menyertai program dan aktiviti yang disediakan di kawasan sekitar tasik, diikuti pelbagai persembahan kebudayaan dan artis pada sebelah malam.
Ambang tahun baharu di PERLIS pula meriah dengan pelbagai aktiviti sihat dan berunsur kekeluargaan, antaranya acara larian 'New Year Night Run' di Denai Larian Pengkalan Asam di Kangar, sejauh enam kilometer yang bermula pada 9 malam tadi.
Turut dianjurkan Karnival Sambutan Tahun Baharu 2026 Kerajaan Negeri Perlis yang berlangsung dari 9 pagi hingga 12 tengah malam di Dewan 2020 Kangar, dengan pelbagai pengisian termasuk persembahan pentas, gerai jualan dan aktiviti kekeluargaan.
-- BERNAMA