KUCHING, 31 Dis (Bernama) -- Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat 10 pagi ini bagi menempatkan 197 mangsa banjir di sekitar bandar raya ini, susulan hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan dua PPS itu ialah Dewan Masyarakat Stapok dan Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru.
"PPS Dewan Masyarakat Stapok menempatkan 42 mangsa manakala 155 orang daripada 45 keluarga berlindung di PPS Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, JBPM Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai situasi banjir melibatkan kawasan Taman Desa Wira dan Kampung Sinar Budi Baru pada 5 pagi tadi.
Semalam, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi beberapa kawasan di Sarawak bermula hari ini hingga esok.
MetMalaysia memaklumkan antara kawasan dijangka terkesan ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong.
-- BERNAMA