KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan rampasan bernilai lebih RM1.1 bilion pada tahun ini, hasil pelbagai operasi membanteras penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
Komander Briged Tengah PGA SAC Hakemal Hawari berkata rampasan itu ialah hasil 538 serbuan dan operasi dilaksanakan agensi itu dari 1 Jan hingga hari ini membabitkan kawasan tanggungjawab pasukan itu yang meliputi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Beliau berkata dalam tempoh itu, sebanyak 1,649 individu berjaya ditahan melibatkan pelbagai kesalahan.
“Antara operasi yang dilaksanakan ialah Ops Taring Nyah 1 (Selangor dan Johor) untuk mencegah kemasukan pendatang tanpa izin, Ops Kontraban bagi membanteras aktiviti penyeludupan barangan tanpa cukai, Ops Bersepadu Khazanah melibatkan kesalahan berkaitan hidupan liar serta khazanah negara dan Ops Hazard bagi jenayah berkaitan alam sekitar.
“Operasi ini turut dilaksanakan secara bersepadu bersama-sama agensi penguat kuasa lain pada peringkat antara dan dalam agensi, selaras dengan pendekatan holistik menangani jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hakemal berkata kejayaan terbabit membuktikan komitmen berterusan PGA dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan serta kesejahteraan negara.
“Orang ramai turut diseru bekerjasama dengan polis dan menjadi barisan hadapan untuk menyalurkan maklumat, serta sebagai mata dan telinga kepada pasukan keselamatan demi memastikan sempadan negara kekal bebas daripada pencerobohan dan aktiviti haram,” katanya.
-- BERNAMA