KIGALI, 30 Dis (Bernama-Anadolu) -- Parti pemerintah Ivory Coast, Rally of Houphouetists for Democracy and Peace (RHDP), berjaya menguasai majoriti dalam pilihan raya parlimen pada Sabtu, dengan memenangi 197 daripada 255 kerusi Perhimpunan Kebangsaan, menurut keputusan rasmi sementara yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas pada Isnin.
Menurut suruhanjaya itu, daripada 8.5 juta pengundi yang berdaftar, peratusan keluar mengundi mencatatkan sebanyak 35.04 peratus, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Parti pembangkang, Democratic Party of Ivory Coast-African Democratic Rally (PDCI-RDA), memenangi 32 kerusi, manakala calon bebas memenangi 23 kerusi.
Parti kecil lain, termasuk parti The Ox - Victory for Development, masing-masing memenangi satu kerusi.
Suruhanjaya melaporkan beberapa insiden terpencil, khususnya di kawasan perbandaran Marcory, iaitu tindakan keganasan telah menyebabkan kemusnahan peti undi di lima pusat mengundi.
Bagaimanapun, suruhanjaya tersebut menyatakan bahawa insiden itu tidak menjejaskan integriti keseluruhan pilihan raya berkenaan. Selaras dengan kod pilihan raya, calon dan parti mempunyai tempoh lima hari untuk mengemukakan sebarang aduan, yang akan diteliti sebelum pengumuman keputusan muktamad oleh mahkamah tertinggi negara itu dalam beberapa hari akan datang.
Pilihan raya parlimen itu diadakan susulan pilihan raya presiden pada Oktober lalu yang dimenangi oleh penyandang jawatan, Presiden Alassane Ouattara.
-- BERNAMA-ANADOLU