DUNIA

Jabatan Keadilan AS: Disney Setuju Bayar Penalti US$10 Juta Selesaikan Kes Privasi Kanak-kanak

31/12/2025 11:38 AM

WASHINGTON, 31 Dis (Bernama-Anadolu) -- Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mengumumkan bahawa syarikat Disney bersetuju membayar penalti sivil berjumlah US$10 juta bagi menyelesaikan dakwaan melanggar undang-undang privasi kanak-kanak persekutuan melalui kandungan popularnya di YouTube, lapor Agensi Anadolu.

"Jabatan Keadilan komited sepenuhnya dalam memastikan ibu bapa mempunyai hak bersuara tentang bagaimana maklumat anak-anak mereka dikumpul dan digunakan," kata Penolong Peguam Negara, Brett A. Shumate daripada Bahagian Sivil Jabatan Keadilan dalam satu kenyataan.

Shumate berkata bahawa jabatan itu akan mengambil "tindakan segera bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang" terhadap hak ibu bapa untuk melindungi privasi anak-anak mereka.

Menurut kenyataan itu, selain mengenakan penalti sivil US$10 juta, perintah berkenaan turut melarang Disney daripada beroperasi di YouTube dengan cara yang melanggar Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak (COPPA) serta peraturan pelaksanaannya.

Arahan itu juga mewajibkan Disney mewujudkan satu program bagi memastikan syarikat itu mematuhi COPPA dengan betul di platform YouTube pada masa hadapan.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507529