PHNOM PENH, 25 Dis (Bernama) -- Myanmar yang berdepan masalah kekurangan tenaga sedang mengorak langkah ke arah matlamat strategik nasional untuk mencapai mampu diri tenaga dan kebebasan tenaga mulai tahun depan, seiring usaha negara itu mempertingkatkan infrastruktur tenaganya.
Dengan kurang daripada seminggu sebelum pilihan raya umum, Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan Negara Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing memberi jaminan bahawa sektor tenaga domestik mampu menghasilkan bekalan elektrik yang mencukupi bagi memenuhi permintaan nasional.
“Kementerian Tenaga telah melakukan usaha berterusan untuk memenuhi keperluan bahan api negara.
“Kilang penapisan Thanlyin yang baharu, dengan kapasiti 500,000 tan (minyak mentah) setahun, dijangka mula beroperasi di bawah Fasa I, manakala Fasa II akan meningkatkan kapasiti kepada tiga juta tan setahun apabila siap pada 2028,” kata Aung Hlaing pada Rabu, lapor media kerajaan The Global New Light of Myanmar.
Beliau merasmikan Muzium Tenaga sempena Jubli Delima Kementerian Tenaga serta ulang tahun ke-100 Kilang Penapisan Minyak Thanlyin di Yangon.
Muzium itu mempamerkan keupayaan sektor tenaga negara Asia Tenggara yang kaya sumber itu, yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya berikutan ketidakstabilan politik berpanjangan serta kekurangan pelaburan.
Beliau berkata kementerian itu akan membangunkan projek gas asli luar pesisir dan medan minyak baharu, memulihkan kilang penapisan sedia ada, loji petrokimia serta loji baja bagi merangsang sektor tenaga, lapor media kerajaan.
Campuran tenaga semasa Myanmar merangkumi hidrokuasa, arang batu, gas asli dan solar.
Projek Loji Janakuasa Thanlyin dan Thakayta akan menambah 500 megawatt (MW) kepada grid nasional, sekali gus meningkatkan permintaan elektrik di Yangon.
Loji janakuasa yang menggunakan gas asli cecair (LNG) Thanlyin (200MW) dan Thakayta (300MW) memulakan operasi ujian minggu ini, dan gabungan bekalan elektriknya akan menambah kapasiti kepada grid nasional pada 2026, menurut media kerajaan.
Bekalan tenaga tambahan itu hadir pada masa kritikal untuk merancakkan semula ekonomi Myanmar yang perlahan, yang mencatat penyusutan sebanyak 2.5 peratus tahun ini.
Kekurangan bekalan elektrik menjadi kebimbangan utama di bandar ramai penduduk dan perindustrian seperti Yangon, Mandalay serta ibu negara Nay Pyi Taw, yang sering berdepan gangguan bekalan.
Laporan Bank Dunia pada Jun 2025 mendedahkan bahawa gangguan bekalan elektrik pada April tahun ini meningkat berbanding 42 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.
“Penjanaan elektrik terjejas akibat pengurangan bekalan berasaskan gas, peningkatan kebergantungan kepada infrastruktur hidrokuasa yang semakin usang, gangguan rangkaian penghantaran, kekurangan alat ganti serta pelaburan yang berkurangan dalam operasi dan penyelenggaraan,” menurut laporan itu.
Selain itu, bencana alam baru-baru ini - gempa bumi dan taufan - serta konflik bersenjata berterusan di beberapa bahagian negara telah menyebabkan kerosakan teruk kepada infrastruktur tenaga utama.
Talian elektrik, pencawang dan transformer turut musnah.
Bekalan elektrik juga amat diperlukan bagi menyokong sektor pakaian, yang menggaji kira-kira setengah juta pekerja menghasilkan produk jenama antarabangsa untuk pasaran global, sumber pendapatan utama negara.
Elektrik turut diperlukan untuk menerangi hotel dan rumah tamu di seluruh negara sekiranya Myanmar mahu menghidupkan semula sektor pelancongannya.
Sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, Myanmar terjerumus ke dalam kegawatan ekonomi, manakala hampir 55 juta penduduknya terpaksa berdepan bekalan elektrik yang tidak menentu untuk menerangi kediaman mereka.
Selepas terhenti selama lima tahun, kerajaan tentera Myanmar akan mengadakan pilihan raya pertama pada 28 Disember ini.
-- BERNAMA