PUTRAJAYA, 30 Dis (Bernama) -- Malaysia menolak pengiktirafan Israel terhadap wilayah “Somaliland” dan menyatakan bantahan tegas terhadap sebarang usaha menggunakan wilayah itu, atau mana-mana kawasan lain, sebagai lokasi pemindahan secara paksa rakyat Palestin dari Gaza.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sehaluan sepenuhnya dengan pendirian sekumpulan besar negara serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam menolak pengiktirafan yang dibuat oleh Israel itu.
“Kami menyatakan bantahan tegas terhadap sebarang cubaan untuk menggunakan ‘Somaliland’ atau mana-mana wilayah lain sebagai destinasi pemindahan atau pengusiran paksa rakyat Palestin dari Gaza.
“Cadangan sedemikian sama sekali tidak boleh diterima, melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan, serta hanya akan menambah ketidakadilan dan bukannya menyumbang kepada keamanan. Kami menolak semua tindakan yang melemahkan tatakelola undang-undang antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Israel menjadi negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pertama yang secara rasmi mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah negara berdaulat pada Jumaat, sekali gus mengundang kecaman daripada Turkiye, sekutu rapat Somalia, serta beberapa negara di Afrika dan Timur Tengah.
Somaliland, yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada Somalia pada 1991, masih belum menerima pengiktirafan rasmi antarabangsa dan beroperasi sebagai entiti pentadbiran, politik dan keselamatan de facto, sementara kerajaan pusat Somalia terus berdepan kesukaran untuk mengukuhkan kawalan terhadap wilayah itu manakala pemimpin Somaliland sendiri masih gagal mendapatkan pengiktirafan dunia terhadap tuntutan kemerdekaan mereka.
Mengenai Gaza, Anwar berkata perbincangan terbaharu yang diadakan di Florida bertujuan menangani fasa seterusnya proses damai, sambil menegaskan bahawa sebarang keganasan berskala besar tidak seharusnya berulang.
“Biar jelas, tidak boleh berulang keganasan berskala besar. Sebarang ketegangan berulang (keganasan) hanya akan mengorbankan lebih banyak nyawa orang awam dan terus menghakis prospek keamanan yang sedia rapuh,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa Israel mesti dipertanggungjawabkan atas tindakannya serta kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa.
Terdahulu, laporan media menyatakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menerima kunjungan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Florida pada Isnin bagi mengadakan perbincangan penting berhubung langkah seterusnya dalam pelaksanaan gencatan senjata di Gaza.
Mengulas perkembangan pasca pilihan raya di Myanmar, Anwar berkata para pemimpin ASEAN akan terus meneliti situasi tersebut dengan penuh berhati-hati, termasuk langkah-langkah yang sedang diambil berkaitan proses politik negara itu.
“Sebarang penilaian akan dibuat secara berperingkat, berpandukan keperluan untuk mengurangkan keganasan, mengelakkan tindakan yang boleh memperdalam perpecahan atau memberi kesahan pramatang, serta mengekalkan ruang ke arah laluan yang inklusif dan berwibawa,” katanya.
Myanmar memulakan pilihan raya umum tiga fasa pada Ahad.
Kerajaan pimpinan tentera yang diketuai Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, mengadakan pilihan raya umum berbilang parti itu hampir lima tahun selepas negara berkenaan mengadakan pilihan raya terakhir.
Fasa pertama akan diadakan pada 28 Dis di 102 kawasan, diikuti Fasa Kedua pada 11 Jan 2026 di 100 kawasan. Fasa Ketiga pula dijadual berlangsung pada 25 Jan 2026 di 63 kawasan di seluruh negeri dan wilayah berkaitan.
Keputusan penuh pilihan raya dijangka diumumkan selepas semua fasa pengundian selesai.
Pilihan raya umum terakhir Myanmar berlangsung pada November 2020.
-- BERNAMA