PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Switzerland terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi perbincangan mengenai potensi kerjasama yang boleh dirangka bagi mengukuhkan komitmen bersama terhadap pembangunan berasaskan warisan dan nilai komuniti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan semasa sarapan bersama Duta Besar Switzerland ke Malaysia Chantal Moser, di Kedutaan Switzerland, Kuala Lumpur pagi tadi.
"Kami turut bertukar pandangan berkenaan isu pemerkasaan dan kepimpinan wanita, termasuk ruang-ruang yang boleh diteroka dalam kerangka dasar sosial yang lebih progresif dan inklusif.
"Saya menghargai kesediaan dan keterbukaan pihak Kedutaan Switzerland untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang bermakna. Beberapa tindakan lanjut akan disusuli bersama selepas ini," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata pertemuan itu diadakan susulan kepada mesyuarat dua hala beliau dengan Ketua Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Switzerland, Federal Councillor Elisabeth Baume-Schneider ketika lawatan kerjanya ke Venice, Itali bersempena Mesyuarat Tahunan Davos Baukultur Alliance pada Mei lepas.
Dalam mesyuarat tahunan berkenaan, katanya Malaysia telah diiktiraf sebagai satu-satunya negara di luar benua Eropah yang menjadi anggota dalam gerakan antarabangsa itu.
-- BERNAMA