JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah Syarikat Rugi Lebih RM300,000 Akibat Pelaburan Tidak Wujud

08/07/2025 10:39 PM

ALOR SETAR, 8 Julai (Bernama) -- Seorang pengarah sebuah syarikat kerugian lebih RM300,000 selepas terperdaya dengan pelaburan tidak wujud dalam talian. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Supt Loi Yew Lik berkata lelaki berusia 44 tahun itu mengetahui pelaburan berkenaan menerusi iklan di Facebook pada 11 Mei dan menghubungi beberapa suspek melalui WhatsApp. 

“Mangsa dimasukkan ke kumpulan WhatsApp dan diminta memuat turun aplikasi menerusi pautan diberikan untuk berurusan dalam pelaburan yang menawarkan pulangan harian sebanyak 10 peratus. 

“Lelaki itu membuat 18 transaksi pemindahan wang ke tiga akaun dari 14 Mei hingga 17 Jun berjumlah RM302,100,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Loi berkata mangsa yang curiga selepas suspek meminta wang tambahan jika ingin mendapatkan pulangan pelaburan bersama modal telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada 1.04 tengah hari semalam. 

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan penipuan pelaburan dalam talian dan membuat semakan dengan polis atau aplikasi Semak Mule atau menghubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997.  

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2442925