JENAYAH & MAHKAMAH

AKPS Berkolaborasi Dengan Semua Agensi Penguat Kuasa, Perkukuh Operasi Di Sempadan

08/07/2025 06:36 PM

SEPANG, 8 Julai (Bernama) -- Kolaborasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dengan agensi penguat kuasa utama yang lain terus diperkemas dari semasa ke semasa dalam usaha memperkukuh keselamatan serta operasi di sempadan.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya ketika ini mendapat kerjasama yang baik antaranya daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). 

“Alhamdulillah, saya rasa agensi-agensi utama memberi kerjasama yang baik kepada AKPS kerana ini adalah hasrat kerajaan dan agenda kerajaan. Maka, saya akan terus bekerjasama dengan mereka dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja pertamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini yang mahu sempadan negara diperkukuh bagi membanteras isu penyeludupan dadah yang semakin membimbangkan.

Baginda bertitah kawalan di pintu masuk negara seperti lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat perlu diperketat kerana ia dikenal pasti sebagai antara laluan utama kemasukan bekalan dadah ke dalam negara.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata beliau juga akan turun ke sempadan dan pintu masuk negara yang lain bagi meneliti permasalahan di lapangan.

“Alhamdulillah, saya mempunyai kumpulan kerja yang begitu bersemangat dan mahir dengan permasalahan-permasalahan yang timbul.

“Mereka mempunyai banyak idea dan saya di sini hanya untuk bekerja bersama mereka, bukan untuk memberi arahan tetapi untuk bekerja bersama-sama dan cuba menyelesaikan (tugas),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2442796