KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Polis sedang mengesan sepasang suami isteri yang melarikan diri selepas kenderaan yang dipandu oleh seorang daripada mereka terjatuh ke dalam Sungai Langat di Hulu Langat, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan pada 9.30 pagi daripada orang awam bahawa terdapat sebuah kereta telah terjatuh ke dalam sungai itu di Jalan Kuari Sungai Long.
Menurut Naazron saksi awam yang tinggal berhampiran lokasi kejadian memaklumkan mereka mendengar bunyi bising di kawasan sungai pada 9 pagi dan melihat seorang lelaki dan seorang wanita keluar dari kenderaan berkenaan sebelum melarikan diri.
"Pemeriksaan lanjut oleh pihak polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan tiada individu berada di dalam kenderaan tersebut ketika ia berjaya dinaikkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata polis berjaya mengesan pemilik kenderaan berkenaan yang memaklumkan kereta itu telah disewakan kepada seorang lelaki yang kemudian dipinjam oleh sepasang suami isteri sebelum kejadian berlaku.
"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Ketua Polis Balai Batu 14 Hulu Langat di talian 019-264 2499," katanya.
-- BERNAMA