PUTRAJAYA, 7 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) dan IHH Healthcare Malaysia hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) ketiga mereka, bagi memperkukuh kerjasama strategik awam-swasta yang bertujuan meningkatkan akses kepada rawatan kanser lebih canggih.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perjanjian itu akan membolehkan tambahan 500 pesakit menerima rawatan radioterapi dan radiosurgeri berkualiti tinggi secara percuma melalui perkhidmatan yang disediakan oleh pakar onkologi dan pakar bedah saraf KKM di fasiliti milik IHH.
“Perjanjian ini juga menjadikan jumlah keseluruhan fasiliti IHH yang terlibat kepada lapan hospital termasuk yang terbaharu Island Hospital di Pulau Pinang, yang dilengkapi dengan teknologi Gamma Knife dan LINAC, membolehkan rawatan yang tepat dan berimpak tinggi terutama bagi tumor yang terletak di bahagian sensitif,” katanya selepas majlis menandatangani MoU antara KKM dan IHH Healthcare di sini hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Suriani Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia Jean-François Naa.
Dzulkefly berkata kerjasama yang mula terjalin pada 2022 itu, setakat ini telah memberi manfaat kepada 1,000 pesakit kanser di seluruh negara.
“Kerjasama ini merupakan langkah konkrit ke arah merapatkan jurang bagi golongan kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah. Ia juga mencerminkan komitmen berterusan Malaysia terhadap Liputan Kesihatan Sejagat (UHC), dengan rawatan kanser bukan dianggap sebagai satu keistimewan tetapi sebagai satu hak.
“Kita tidak seharusnya membenarkan hasil kesihatan pesakit ditentukan oleh di mana mereka tinggal atau berapa banyak pendapatan mereka,” katanya.
Dzulkefly berkata dari 2020 hingga 2024, Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) merekodkan lebih 165,000 kes baharu dengan kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, dan hati sebagai antara yang paling lazim.
“Apa yang membimbangkan, lebih 60 peratus kes dikesan di peringkat akhir, yang rawatannya lebih rumit, mahal dan kurang berkesan,” katanya.
Sementara itu, kenyataan dikeluarkan KKM memaklumkan menerusi MoU itu antara jenis kanser yang dirawat ialah tumor otak, metastasis otak, kanser kepala-leher, dan pelbagai jenis kanser lain seperti paru-paru, payudara, kolon dan limfa.
Menurut KKM, MoU itu akan menjadi pemacu kerjasama awam-swasta yang akan menyokong usaha kementerian dalam menangani penyakit kanser, selain memperluaskan akses penjagaan serta rawatan kepada pesakit kanser di negara ini.
“Inisiatif ini juga selari dengan Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kawalan Kanser iaitu keutamaan diberikan dalam pengesanan awal, rawatan efektif, penjagaan paliatif dan penyelarasan sistem secara meluas bagi mengurangkan bebanan kanser di peringkat nasional,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA