KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Pengunjung ke Karnival Pembelajaran Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 berpeluang untuk mempelajari cara menyelamatkan nyawa melalui bantuan pernafasan kecemasan atau ‘resusitasi kardiopulmonari’ (CPR) secara percuma, dan memahami dunia orang kurang upaya (OKU) penglihatan.
Pengurus pasukan petugas strategik (Strategik Task Force Manager) Academy of Safety and Emergency Care (ASEC) Muazzam Jamaluddin berkata pengunjung diberi pendedahan secara praktikal tentang tindakan awal dalam menyelamatkan nyawa pada situasi kecemasan.
“Pihak kami akan tunjuk demonstrasi dan ajar cara buat CPR yang betul supaya orang ramai lebih faham dan yakin untuk bertindak dalam situasi kecemasan. Kami cuba dedahkan kepada mereka bagaimana melakukan tekanan (dada) dengan betul dan kami sendiri akan semak sejauh mana tepat cara mereka.
“Kami cabar pengunjung lakukan CPR selama dua minit dan kita bawa peranti khas untuk uji berapa peratus keberkesanan mereka dalam menyelamatkan nyawa dalam tempoh 120 saat,” katanya kepada Bernama di reruai NTW 2025 di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.
Beliau berkata selain latihan CPR, syarikatnya turut membawa modul contoh pengurusan bencana bagi mengajar konsep keutamaan rawatan dalam situasi melibatkan ramai mangsa pada NTW kali ini.
“Kami tunjukkan kepada pengunjung bagaimana untuk mengenal pasti siapa yang perlu diberi rawatan segera dalam insiden besar yang melibatkan banyak nyawa. Situasi sebegini tidak semudah rawatan satu pesakit, kerana perlu ada susunan keutamaan supaya bantuan dapat disalurkan dengan berkesan,” katanya.
Seorang pengunjung Hidayatus Syafiyyah Kamaludin, 24, berkata peluang mencuba latihan CPR dan memahami teknik yang betul sangat berguna bagi menghadapi situasi kecemasan sama ada melibatkan ahli keluarga atau orang awam.
“Selalu tengok sahaja (CPR), tetapi tak pernah buat secara praktikal… Kali ini saya dapat cuba dan belajar teknik CPR yang betul,” kata pekerja swasta itu.
Sementara itu Pembantu Penerbitan Bahagian Buku Teks Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam (PERTIS) Nor Saliza Jusoh berkata pihaknya memberi pendedahan kepada pengunjung tentang cara yang betul untuk membantu golongan OKU penglihatan.
“Ramai orang tak tahu, bila jumpa orang cacat penglihatan di tepi jalan, mereka terus tarik tongkat atau beg galas. Itu sebenarnya satu kesalahan besar kerana boleh menyebabkan mereka terkejut dan jatuh.
“Ada sesetengah OKU penglihatan akan terkejut dan mungkin menolak secara spontan. Bila itu berlaku, orang anggap mereka tak bersyukur atau menolak bantuan, sedangkan sebenarnya mereka hanya terkejut,” katanya.
Saliza berkata antara kaedah yang betul ialah membiarkan mereka memegang siku atau bahu orang yang membantu dan jika melalui lorong sempit, tangan perlu diletakkan ke belakang supaya mereka dapat mengikuti laluan dengan selamat.
Pengunjung turut diberi peluang untuk merasai sendiri penggunaan mesin taip Braille (Perkins Brailler) dan membaca serta mengenal tulisan asas Braille rumi termasuk huruf jawi.
NTW 2025 yang dianjurkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), berlangsung di seluruh negara bermula hari ini hingga 21 Jun dengan tawaran lebih 70,000 kursus percuma.
-- BERNAMA