AM

JTKSM Pastikan Hak Pekerja Terbela - Ketua Pengarah

15/06/2025 03:01 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) terus komited memastikan kebajikan dan kepentingan golongan pekerja di negara ini terbela, kata Ketua Pengarahnya Kamal Pardi.

Beliau berkata sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), JTKSM bertanggungjawab menguatkuasakan pelbagai akta perburuhan demi menjaga kepentingan golongan pekerja dan majikan.

“JTKSM diberi tanggungjawab melindungi hak dan kepentingan pekerja termasuk aspek upah, cuti, perumahan, dan persekitaran kerja yang selamat serta kondusif.

“Ini demi memastikan kebajikan, keberhasilan dan kemahiran pekerja terus diberi keutamaan demi produktiviti dan mutu kerja yang lebih baik sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV baru-baru ini.

Antara undang-undang yang dikuatkuasakan JTKSM ialah Akta Kerja 1955, Akta Standard Minimum Perumahan dan Kesejahteraan Pekerja, dan Perintah Gaji Minimum yang pada 2025 dinaikkan kepada RM1,700 sebulan bagi syarikat mempunyai kurang lima pekerja.

Selain itu, Kamal berkata JTKSM mengawal penggunaan kanak-kanak dan orang muda di tempat kerja demi menjaga kepentingan serta masa depan golongan berkenaan.

Beliau berkata kanak-kanak yang terlibat dalam bidang hiburan dan peragaan, misalnya perlu mendapatkan lesen dan kebenaran JTKSM demi memastikan kebajikan dan persekolahan mereka terpelihara.

Bagi memastikan undang-undang dipatuhi, JTKSM sentiasa melaksanakan operasi dan pemeriksaan termasuk terhadap tempat kerja dan penginapan yang disediakan majikan.

“Ini penting demi menjaga kebajikan dan kesihatan, seterusnya meningkatkan produktiviti dan mutu kerja apabila pekerja dapat bekerja dan berehat secukupnya,” katanya.

Beliau turut meminta golongan pekerja yang merasakan hak dan kepentingan mereka diabaikan supaya tampil membuat aduan terus kepada JTKSM, sama ada secara rasmi, secara e-mel, atau tanpa mendedahkan identiti bagi menjaga kerahsiaan pengadu.

“JTKSM akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap majikan yang melanggar undang-undang untuk memastikan keadilan kepada golongan pekerja. Ini tanggungjawab dan amanah JTKSM demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Sebarang pertanyaan atau pengaduan boleh dibuat sama ada melalui e-mel ke jtksm@mohr.gov.my atau menghubungi pusat panggilan di talian 03-88865192.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2434347