AM

Bantuan MAIWP Beri Kelegaan, Ringankan Beban Keluarga Asnaf

17/06/2025 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Rasa syukur dan lega jelas terpancar pada wajah para penerima bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi program Ziarah Kasih Asnaf Bersama MAIWP di Perumahan Awam Sri Perak di sini hari ini.

Bagi penerima, bantuan itu bukan sekadar barangan atau wang tunai, malah ia juga sebagai harapan baharu yang menandakan masih ada pihak peduli dan memahami kesusahan hidup mereka.

Empat individu menerima pelbagai bentuk bantuan keperluan asas dan perubatan menerusi program yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP Mohd Fauzi Abidin dan Timbalan Pengurus (Kesejahteraan Sosial) Bahagian Agihan Zakat MAIWP Wan Maizatun Wan Hassan bersama beberapa anggota MAIWP.

Seorang peniaga kecil Noorhaini Zainal Abidin, 54, menyifatkan bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban penjagaan anak bongsunya Harmie Razali, 21, iaitu pelajar tahun akhir Kolej Profesional MARA Indera Mahkota, Pahang yang mengalami kecederaan otak serius akibat kemalangan jalan raya pada April tahun lepas.

Beliau berkata keadaan Harmie pada mulanya hanya terlantar dan bergantung sepenuhnya pada susu khas serta alatan bantuan pernafasan yang menelan belanja tinggi iaitu RM2,800 sebulan.

“Pada mulanya, saya memang tanggung sendiri rawatan itu tetapi dia mengambil masa panjang untuk sembuh. Lama-lama saya tidak lagi mampu untuk bayar. Jadi, saya tanya semula kepada MAIWP dan mereka ada menyediakan bantuan fisioterapi di rumah,” katanya.

Noorhaini berkata segalanya mula berubah apabila MAIWP tampil menyalurkan bantuan asnaf bermula Jun tahun lepas, meliputi barangan keperluan seperti lampin pakai buang, susu khas dan alatan perubatan.

Selain itu, beliau berkata MAIWP juga menampung kos rawatan fisioterapi anaknya berjumlah RM150 bagi setiap sesi untuk mempercepatkan proses pemulihan.

Beliau berkata proses permohonan bantuan MAIWP juga mudah kerana pemohon hanya perlu menghantar dokumen lengkap ke pejabat, sebelum bantuan diluluskan dan dihantar terus ke rumah dalam tempoh sebulan.

Seorang lagi penerima, Siti Zuhaili Idris, 31, berkata bantuan yang diperoleh amat membantu dalam meringankan beban menjaga anaknya Nur Arissa Sabrina Mohammed Zulkarnain, lima tahun, yang menghidap sakit jantung berlubang.

Ibu kepada dua anak itu berkata Nur Arissa Sabrina disahkan menghidap penyakit kronik itu sejak dalam kandungan lagi dan kini bergantung sepenuhnya kepada susu khas serta rawatan rapi di rumah, dengan anggaran perbelanjaan bulanan mencecah hampir RM1,000.

“Alhamdulillah, kini beban saya semakin berkurang sebab setiap bulan MAIWP berikan dua kotak susu (12 tin susu) termasuk lampin dan wang bantuan RM600 serta wang tambahan RM300,” katanya sambil menambah proses permohonan juga mudah kerana boleh dibuat secara dalam talian tanpa perlu meninggalkan anaknya itu.

Sementara itu, Wan Maizatun berkata pihak MAIWP sentiasa berusaha menyalurkan bantuan mengikut keperluan sebenar setiap keluarga.

“Kami faham setiap keluarga ada keperluan yang berbeza. Jadi, mereka boleh maklumkan kepada kami apa yang mereka benar-benar perlukan menerusi hotline WhatsApp kami dan kita akan berusaha untuk memenuhi keperluan itu,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menafikan dakwaan tular mengenai penyelewengan bantuan, sambil menegaskan setiap bantuan yang disalurkan mematuhi prosedur operasi standard dan garis panduan perolehan yang ditetapkan kerajaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2435217