LANGKAWI, 17 Jun (Bernama) -- Persediaan kini giat dilaksanakan termasuk persiapan lokasi dan penyelarasan delegasi, menjelang penganjuran Sidang Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN 2025 (#EduRoundtables2025) bermula esok hingga 19 Jun.
Tinjauan Bernama di lokasi penganjuran yang bertempat di sebuah hotel di sini hari ini mendapati, para petugas dilihat terus melaksanakan persiapan terakhir menjelang permulaan sidang itu esok.
Petugas turut kelihatan sibuk menghias lokasi dengan bunga-bungaan yang indah dan teratur.
Sepanjang acara dua hari bermula esok, Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi bersama-sama pegawai negara anggota ASEAN dan Timor-Leste, dijangka membincangkan satu kerangka baharu yang akan menjadi panduan hala tuju pendidikan di rantau ini pada masa hadapan.
Selain sesi tertutup Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN pada 19 Jun, Kementerian Pendidikan (KPM) akan menganjurkan Forum Pendidikan ASEAN pada 18 Jun dengan tema “Mempercepat Strategi Inovatif: Menangani Cabaran Keciciran Murid dan Belia (OOSCY)”.
Bagi pendidikan tinggi, agenda utama termasuk jangkaan pengesahan Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Pendidikan Tinggi dan pertukaran pelajar serta biasiswa menerusi inisiatif ASEAN Global Exchange for Mobility and Scholarship (ASEAN GEMS).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dijadualkan menyampaikan ucapan pada Khamis.
Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005, and 2015.
-- BERNAMA