KLANG, 16 Jun (Bernama) -- Lebih dua juta individu menyertai program pembangunan kemahiran sempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025, jauh melebihi sasaran awal sejuta peserta, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Beliau berkata sebanyak 41 peratus daripada peserta terlibat dalam latihan berkaitan kemahiran Industri 4.0, sekali gus menunjukkan usaha nasional yang kukuh dalam mempersiapkan tenaga kerja menghadapi tuntutan era digital dan teknologi.
“Kita mahu jadikan platform seperti NTW ini sebagai contoh untuk membiasakan rakyat Malaysia dengan latihan kemahiran. Sertai mana-mana kursus, kita mahu menjadikan latihan kemahiran sebagai satu budaya, trend dan arus perdana supaya semua orang berasa selesa untuk menambah ilmu melalui kursus-kursus yang ditawarkan.
“Kajian telah menunjukkan, jangan pandang rendah pada latihan satu minggu ini. Kajian menunjukkan di Malaysia, 35 peratus majikan mengiktiraf kursus jangka pendek sebagai penilaian potensi pekerja mereka, berbanding purata global yang hanya 14 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan program NTW 2025 bertemakan Logistics Unboxed: Empowering Workforce Beyond Borders di sini hari ini.
Sim turut menggesa sektor swasta untuk bersama-sama memainkan peranan melatih pekerja mereka agar tenaga kerja negara bersedia menghadapi keperluan masa depan, sekali gus memastikan kepentingan dan aspirasi Malaysia dalam memperkukuh ekonomi negara dapat dicapai.
“Saya selalu sebut kepada rakan-rakan industri, tolong bantu kami untuk bantu anda melatih pekerja. Pelabur sedang datang, tetapi kita kekurangan tenaga kerja. Kita perlukan 5,000 jurutera, kita perlukan 10,000 juruteknik,” katanya.
Program Logistics Unboxed dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400 peserta termasuk pelajar dan majikan, menerusi lima hari aktiviti pembelajaran secara hibrid.
Program ini menggabungkan sesi latihan dalam talian dan secara fizikal, dikendalikan oleh wakil daripada Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengangkutan, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) serta Infinity Logistics, yang berkongsi pandangan bernilai mengenai trend semasa dan kemahiran penting dalam landskap logistik yang sedang berkembang.
-- BERNAMA