AM

MIDA, ACWA Power meterai Kerjasama US$10 Bilion Di Luar Sidang Kemuncak ASEAN-GCC

27/05/2025 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- ACWA Power, syarikat penyahgaraman air terbesar dunia, menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), untuk memudah cara pelaksanaan projek pelaburan strategik dalam infrastruktur tenaga bersih di seluruh Malaysia.

Syarikat yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi itu menyasarkan kapasiti sebanyak 12.5 GW menjelang 2040 dengan nilai pelaburan dianggarkan sebanyak US$10 bilion (US$1 = RM4.24).

Kerjasama yang dimeterai di luar Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 itu di sini turut merangkumi perjanjian strategik tambahan bersama TNB Power Generation Sdn Bhd, UEM Lestra Bhd dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd.

Pemeteraian itu sekali gus mewujudkan satu pakatan kukuh yang menggabungkan ekosistem inovatif Malaysia dengan kepakaran Arab Saudi dalam peralihan tenaga.

Langkah itu menumpukan kepada usaha memajukan tenaga boleh baharu, hidrogen hijau dan penyelesaian air termaju, seiring dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)  dan objektif kepimpinan iklim mengikut Wawasan 2030 Arab Saudi.

Majlis pertukaran MOU itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan Arab Saudi Abdullah Bin Zarah; serta Timbalan Menteri Hubungan Antarabangsa di Kementerian Pelaburan Arab Saudi, Sara Al-Sayed.

Tengku Zafrul berkata Malaysia menyambut baik kerjasama US$10 bilion antara MIDA dan ACWA Power yang menyokong beberapa rancangan penting Malaysia.

“Kami mengalu-alukan kerjasama US$10 bilion antara MIDA dan ACWA Power yang menyokong objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan NETR, ketika Malaysia merangka laluan ke arah mencapai keterjaminan dan peralihan tenaga, terutama untuk sektor perindustrian, serta matlamat negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kerjasama itu menandakan detik penting dalam usaha tenaga hijau Malaysia, sekali gus meletakkan negara sebagai destinasi utama pelaburan mampan di Asia Tenggara.

“Melalui kerjasama ini, kita membuktikan bahawa kerjasama antarabangsa, seperti dengan ACWA Power, boleh mempercepat peralihan kita kepada ekonomi rendah karbon dan pada masa sama mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan memacu inovasi teknologi dalam sektor tenaga boleh baharu di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, CEO ACWA Power, Marco Arcelli berkata perjanjian strategik dengan MIDA itu merupakan pencapaian penting dalam pengembangan ACWA Power di Asia Tenggara.

Langkah itu membuktikan komitmen pihaknya untuk menyokong Malaysia dan peralihan tenaga rantau ASEAN secara keseluruhannya ke arah masa depan yang mampan dan rendah karbon.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428061