JENAYAH & MAHKAMAH

Salah Guna Kuasa: Bekas Pengurus Ladang Rakyat Dipenjara Sehari, Denda Lebih RM20,000

26/05/2025 04:32 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Mei (Bernama) -- Bekas pengurus bahagian pentadbiran dan sumber manusia di Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd dijatuhi hukuman penjara sehari serta denda RM22,143 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyalah guna kuasa bagi mendapatkan suapan lebih RM4,000.

Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu selepas Shahrizal Ridzuan Ambak, 48, mengaku bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Shahrizal Ridzuan didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapat suapan dengan membekalkan kad sim kepada 117 pekerja ladang warga India bernilai RM4,428.60 di Ladang Rakyat Terengganu, Cheneh dekat Kemaman antara Julai hingga Sept 2022.

Shahrizal Ridzuan, yang mempunyai kepentingan bagi urusan itu kerana ejen pembekalan kad sim berkenaan adalah anaknya, didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Mahirah Mohd Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hazwan Hamidun.

 -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2427381