TAIPING, 22 Mei (Bernama) -- Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Simpang di sini bakal berperanan sebagai kemudahan tambahan yang membantu mempercepat proses siasatan melibatkan kes seksual dan penderaan kanak-kanak bawah umur di Perak.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Perak SAC Luqman Abdul Rahman berkata CIC kedua dibuka di negeri itu juga boleh digunakan oleh mana-mana agensi yang dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“CIC pertama diwujudkan pada 2015 di Sungai Senam, Ipoh merupakan pemangkin kepada reformasi sistem keadilan mesra kanak-kanak di negeri ini.
“Dengan rekod penggunaan sebanyak 231 mangsa atau saksi pada 2024 serta 63 mangsa atau saksi dari Januari hingga April tahun ini, jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk CIC yang mampu menampung keperluan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin merasmikan CIC berkenaan di sini hari ini.
Pada 6 Mac lepas, media melaporkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan pada masa ini terdapat 34 CIC di seluruh negara dengan 28 daripadanya di Semenanjung manakala masing-masing tiga di Sabah dan Sarawak.
Luqman berkata CIC juga boleh dijadikan pusat rujukan serantau untuk dimanfaatkan mana-mana agensi dari Pulau Pinang, Kedah serta Perlis jika terdapat kes melibatkan kanak-kanak bawah umur yang tinggal di Perak.
Beliau berkata siasatan yang dijalankan oleh agensi berkaitan itu juga akan dibantu dua kaunselor terlatih daripada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) bagi memastikan mangsa atau saksi mempunyai keyakinan dalam memberikan keterangan.
Selain itu, beliau berkata sebanyak RM250,000 telah diperuntuk bagi pembinaan CIC Simpang yang dibina pada 2023 dan siap sepenuhnya Februari tahun lepas.
Luqman berkata CIC itu turut dilengkapi kemudahan seperti bilik kedap bunyi, bilik temu bual, bilik teknikal serta kemudahan asas lain bagi keselesaan kanak-kanak bawah umur yang tampil merakam keterangan.
-- BERNAMA