JENAYAH & MAHKAMAH

Kemalangan Babitkan Lori Kontena, Kenderaan SUV: Pasangan Kembar Cedera

20/05/2025 01:54 PM

IPOH, 20 Mei (Bernama) -- Pasangan kembar kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 351.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Tapah, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Johari Yahya berkata pihaknya menerima maklumat kira-kira 8 pagi tadi mengenai kemalangan membabitkan sebuah lori kontena muatan batu kapur dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

"Siasatan awal mendapati lori kontena dari arah utara itu telah mengalami tayar pecah, lalu hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik di laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kenderaan itu tidak sempat mengelak, lalu diseret lori kontena berkenaan, bagaimanapun pemandu lori serta pasangan suami isteri yang menaiki kenderaan SUV itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, PLUS dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan kerja-kerja pengalihan kenderaan sedang dijalankan ketika ini.

"Lorong kiri arah utara telah dibuka, lorong kiri arah selatan serta lorong kanan arah utara masih terhalang. Trafik di kedua-dua arah bergerak perlahan. Pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif keluar di Plaza Tol Sungkai atau Slim River," menurut PLUS.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2424789