DUNIA

China, Indonesia Model Hubungan Saling Bermanfaat

22/05/2025 05:31 PM

BEIJING, 22 Mei (Bernama-CMG) -- Hubungan Indonesia-China sudah melangkaui hubungan politik dan ekonomi sehingga menjadi model baharu hubungan antara kuasa besar serantau yang saling membawa manfaat dan saling menyumbang kepada kejayaan satu sama lain.

Demikian kata Duta Besar Indonesia ke China, Djauhari Oratmangun dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) di sini, baru-baru ini. Tahun ini menandakan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik China-Indonesia.

Djauhari menyatakan diplomasi ketua negara amat penting bagi meningkatkan persefahaman antara satu sama lain.

Beliau berkata siri konsensus penting yang dicapai pemimpin kedua-dua negara antaranya usaha sama memantapkan pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Indonesia, telah memperjelas hala tuju perkembangan hubungan bilateral.

Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-70 Persidangan Bandung. Djauhari berkata Semangat Bandung berteraskan solidariti, persahabatan dan kerjasama kekal relevan dalam menyelesaikan isu-isu antarabangsa yang kompleks ketika ini.

Justeru, negara Selatan Global harus memperkukuh kerjasama dengan menjunjung Semangat Bandung demi menyuntik lebih banyak unsur kepastian kepada dunia.

– BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425738