KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (US-ABC) yang menyatakan komitmen untuk terus melabur di Malaysia.
Kunjungan hormat delegasi US-ABC itu yang diketuai Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Serantaunya Brian D. McFeeters berlangsung di Perdana Putra, Putrajaya.
Anwar menerusi hantaran di laman X berkata semasa pertemuan tersebut wakil syarikat multinasional yang hadir telah memberi maklum balas baik susulan pertemuan pada tahun lepas.
“Pelbagai kerjasama baharu telah terbentuk selain daripada memudahcara kepada penyelesaian masalah yang dihadapi mereka.
“Selain daripada komitmen untuk terus melabur di Malaysia, kami turut bertukar pandangan terkait pendekatan ke arah memperkukuh pengembangan industri melibatkan dasar, tenaga mahir dan dana,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata penting bagi kerajaan untuk meneruskan dialog bersama pemain industri bagi memastikan dasar dan pelaksanaannya membuahkan hasil seperti yang dihasratkan.
US-ABC merupakan organisasi bukan bermotifkan keuntunganyang menjalankan penyelidikan dan analisis keadaan ekonomi, alam sekitar, kewangan, politik dan sosial di negara-negara ASEAN.
-- BERNAMA