EKONOMI

Pos Malaysia Catat Kerugian Bersih RM41.5 Juta Pada Suku Pertama

21/05/2025 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Pos Malaysia Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM41.5 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2025, melonjak daripada kerugian bersih berjumlah RM19.6 juta pada suku yang sama tahun lepas, terjejas oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pos dan logistiknya.

Hasil merosot kepada RM467 juta daripada RM491 juta sebelum itu.

"Segmen pos kekal penyumbang terbesar yang menjana hasil sebanyak RM279.1 juta.

"Bagaimanapun, ini mencatatkan penurunan empat peratus disebabkan penyusutan jumlah surat secara pukal dan surat antarabangsa," kata Pos Malaysia dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pos Malaysia juga memaklumkan bahawa segmen logistik turut mengalami penurunan ketara dalam hasil, iaitu kepada RM49.1 juta berbanding RM64.8 juta.

Ia disebabkan terutamanya oleh penurunan aktiviti pengurusan automotif dan kargo serta perubahan dalam mekanisme harga dan tempoh perlabuhan kapal yang lebih panjang.

Sebaliknya, kumpulan itu berkata segmen penerbangan mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM93 juta pada suku dalam tinjauan berbanding RM91.7 juta pada suku yang sama tahun lepas, disumbangkan terutamanya oleh perniagaan katering penerbangan.

Sementara itu, segmen lain terus berkembang dengan sihat dengan hasil yang lebih tinggi,  disumbangkan terutamanya oleh peningkatan jualan sijil digital.

Pos Malaysia berkata walaupun ia berpotensi menghadapi cabaran, termasuk kesan tarif Amerika Syarikat yang masih tidak menentu terhadap segmen pos, kumpulan itu tetap yakin dengan usaha transformasinya dan keupayaannya untuk memberikan nilai jangka panjang yang mampan kepada pemegang kepentingan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425436