Daripada Rosemarie Khoo Mohd Sani
TAIPEI, 21 Mei (Bernama) -- Penyedia teknologi pengurusan data berpangkalan di Taiwan, Synology Inc (Synology), memperhebatkan usaha bagi melonjakkan kehadiran jenamanya dalam kalangan perniagaan di Malaysia yang mewakili hampir 70 peratus daripada asas atau jumlah pelanggannya.
Pengurus Akaun Jabatan Perniagaan Antarabangsa Synology Jason Sin berkata usaha itu disokong oleh pertumbuhan pelaburan dalam penyelesaian perusahaan yang mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 50 peratus dalam 2024.
Beliau berkata syarikat menyasarkan pertumbuhan tahun ke tahun serupa di pasaran Malaysia tahun ini yang memaparkan prestasi pada tahun lepas.
“Kami berhasrat memanfaatkan momentum ini dengan mengukuhkan lagi kesedaran jenama dan meningkatkan lagi jangkauan terhadap perniagaan di Malaysia. Pihak kami mengutamakan penyelesaian sokongan cekap kos dan disusuli dengan tawaran simpanan gred perusahaan apabila rangkaian produk telah tersedia sepenuhnya.
“Dari segi sektor, kami menjangkakan sumbangan daripada sektor seperti penjagaan kesihatan, pembuatan, pendidikan dan sektor kerajaan," katanya kepada Bernama di luar acara Computex, pameran global yang menumpukan aspek kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan syarikat pemula niaga.
Bagi menjangkau lebih banyak bakal pelanggan, Synology sedang memanfaatkan platform seperti Gartner Peer Insights yang membolehkan pengguna perusahaan berkongsi maklum balas mengenai produk berkaitan.
Sin turut menekankan antara nilai utama Synology adalah model pelesenannya yang dipermudah, cekap kos dan mengenakan caj ke atas pelanggan berdasarkan jumlah pelayar berbanding volum penyimpanan atau bilangan peranti.
“Sebagai contoh, ketika penyedia lain berkemungkinan menaikkan kos apabila pengguna menggunakan lebih banyak komputer peribadi atau data, model kami sebaliknya kekal konsisten dan lebih mudah serta berpatutan,” katanya.
Selain itu, dalam senario ketidaktentuan global seperti ketegangan Amerika Syarikat (AS)-China dan cabaran berkaitan tarif, Sin berkata Synology sebaliknya kekal optimis walaupun ada projeknya yang terpaksa ditangguhkan berikutan sentimen perbelanjaan niaga yang lebih berhati-hati.
“Walaupun segelintir pengeluar memperlahankan operasi, keperluan bagi sistem penyimpanan boleh dipercayai tetap tidak berubah bagi memastikan pengeluaran berterusan selain keselamatan data.
“Sehubungan itu, permintaan terhadap penyelesaian penyimpanan dan sokongan kekal kukuh,” katanya.
Produk-produk Synology dikeluarkan di Taiwan dan diedarkan di peringkat global dengan kehadiran di lebih 120 negara dan pejabat cawangan di AS, United Kingdom, Jerman, Perancis, China dan Jepun.
Meskipun Synology belum membuka cawangan di Malaysia, Sin berkata syarikat itu sedang menilai pasaran bagi potensi pengembangan, dipacu oleh peningkatan permintaan untuk infrastruktur pusat data.
Beliau turut membangkitkan kelebihan geografi Malaysia sebagai zon bebas bencana, kos tenaga dan air yang berpatutan selain prasarana teknologi maklumat yang berkembang pesat sehingga menjadikan negara ini lokasi ideal bagi kemudahan pusat data.
“Kesemua faktor ini selain lokasi strategik Malaysia di Asia Tenggara juga membolehkannya muncul sebagai destinasi menarik bagi perkhidmatan awan dan data,” katanya.
-- BERNAMA