AM

Malaysia MADANI Terajui Diplomasi Peradaban Global

21/05/2025 08:48 PM

Ulasan oleh CW Sim, perunding bebas

Walaupun diplomasi sering dipersoalkan keberkesanannya, Malaysia kini semakin menyerlah di pentas global - bukan melalui konfrontasi, tetapi menerusi kekuatan peradaban yang membina.

Pada April lalu, satu peristiwa penting telah berlangsung. Disaksikan Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua negara menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai Dialog Peradaban Konfusian-Islam. Perjanjian ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya menandakan hubungan Malaysia-China yang semakin mendalam melangkaui aspek ekonomi, memasuki wilayah kepercayaan peradaban. Malaysia bukan lagi sekadar rakan ASEAN, sebaliknya muncul sebagai jambatan berintegriti antara dunia Konfusian dan Islam.

Hasil rasmi pertama daripada MoU ini akan berlangsung pada 16 Jun apabila Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Dialog Konfusian-Islam yang julung kali diadakan. Acara ini bakal menghimpunkan tokoh intelektual, sarjana agama dan budayawan terkemuka dari China, rantau Teluk dan dunia Islam bagi pertukaran idea moral dan metafizik yang tersusun.

Bekas Naib Perdana Menteri China merangkap Presiden Persatuan Konfusian Antarabangsa, Sun Chunlan, akan mengetuai delegasi China. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bekas Timbalan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri, juga dijangka hadir, melambangkan pertemuan semula dua tokoh wanita berpengaruh dan memperkukuh lagi peranan Malaysia sebagai rakan kepercayaan dalam kerjasama peradaban.

Asas konseptual sidang ini berakar daripada usaha sepanjang hayat Rektor UIAM, Profesor Osman Bakar, yang mengasaskan Persatuan Dialog Islam-Konfusianisme (ICDS). Diiktiraf di peringkat global sebagai pemangkin dialog antara tamadun, beliau dan rakan-rakannya telah lama memperjuangkan platform untuk meneroka titik temu etika antara Konfusianisme dan Islam. Tokoh-tokoh sejarah seperti Zhu Xi, Ibn Khaldun, Liu Zhi dan Ibn Battuta menurut mereka adalah pelopor empati peradaban, yang menawarkan model kepimpinan moral dan keharmonian sosial yang kekal relevan.

Hari ini, Malaysia menterjemahkan pandangan tersebut kepada tindakan diplomatik.

Momentum peradaban ini tidak terhad kepada hubungan dua hala sahaja. Pada 26-27 Mei, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang bersejarah. Perdana Menteri China Li Qiang serta wakil kanan dari negara Teluk dijangka hadir. Sidang ini bukan sekadar pertemuan geopolitik, tetapi buat pertama kali menjadi platform pelbagai hala bertaraf tinggi di mana tamadun Konfusian dan Islam bercantum secara institusi.

Ia menandakan titik perubahan, bukan hanya dalam penyelarasan ekonomi, tetapi juga dalam kerjasama budaya dan moral. Peranan Malaysia sebagai tuan rumah bukan sekadar atas kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN; ia mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan unik negara ini untuk menjadi pengantara antara tradisi, wilayah dan pandangan dunia. Sepertimana Melaka pada abad ke-15 menjadi nadi perdagangan dan budaya maritim, Kuala Lumpur hari ini bersedia menjadi pusat dialog peradaban abad ke-21.

Kerajaan Malaysia kini telah meletakkan dirinya di tengah-tengah seni bina diplomatik baharu.

Seperti yang ditekankan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asia China, Liang Jianjun: “Malaysia kini satu-satunya negara di dunia yang telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan China di bawah ketiga-tiga inisiatif global utama negara itu. Selain memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini, Malaysia juga akan menjadi Penyelaras Negara bagi hubungan ASEA-China dan kerjasama ASEAN-GCC untuk tempoh tiga tahun akan datang.”

Ini bukan pujian kosong; ia adalah pengiktirafan strategik. Rakyat Malaysia perlu memahami bahawa negara kita bukan lagi hanya peserta; kita sedang muncul sebagai pembawa panji konsensus peradaban global.

Namun, untuk menjadikan diplomasi sebagai kelebihan daya saing negara, kesinambungan institusi adalah kunci.

Masih ada rakyat Malaysia yang bertanya: “"Apa sebenarnya hasil daripada semua lawatan luar negara oleh Perdana Menteri?" Jawapannya mudah. Tiada negara yang memperoleh pelaburan asing jangka panjang, rantaian bekalan stabil, atau keyakinan antarabangsa tanpa profil diplomatik yang berwibawa, dihormati dan berwawasan. Diplomasi peradaban adalah antara bentuk profil yang paling jarang dan paling berdaya tahan.

Malaysia yang dipercayai oleh China dan dunia Islam adalah Malaysia yang mempunyai pengaruh. Malaysia yang mampu memupuk konsensus etika antara nilai Konfusian dan Islam adalah Malaysia yang menjadi pusat paradigma global seterusnya.

Dalam konteks ini, kepimpinan Perdana Menteri Anwar amat penting. Dalam kalangan pemimpin dunia Islam, beliau menonjol kerana mampu mengungkapkan visi yang menggabungkan etika Konfusian dengan tadbir urus Islam. Agenda Malaysia MADANI bukan sekadar reformasi domestik - ia adalah asas ideologi dasar luar berteraskan peradaban.

Jika kerajaan memberi kuasa dan sumber yang sewajarnya kepada UIAM serta platform berkaitannya seperti ICDS, diplomasi peradaban tidak lagi bersifat abstrak. Ia akan diterjemah dalam bentuk pendidikan, pelaburan, penglibatan media dan perkongsian pelbagai hala. Ini bakal melonjakkan profil Malaysia bukan sahaja di China dan Teluk, malah dalam kalangan negara ASEAN yang semakin melihat Kuala Lumpur sebagai model kepimpinan inklusif.

Diplomasi peradaban bukan milik individu. Ia bukan aset politik Perdana Menteri, atau teori akademik. Ia adalah alat negara, cara Malaysia mempersembahkan nilainya kepada dunia.

Apabila rakyat Malaysia menghayati keserasian etika antara Konfusianisme dan Islam, kita akan lebih menghargai kedalaman identiti majmuk kita dan yakin menghadapi ketidaktentuan persekitaran global.

Bermula dari asas kepercayaan Malaysia-China dan sejajar dengan ASEAN serta dunia Islam, kini terbuka satu jalan ke hadapan-bukan sahaja ke arah pemulihan ekonomi, tetapi juga ke arah relevansi peradaban.

Diplomasi peradaban bukan hanya tonggak Malaysia MADANI, malah sumbangan utama negara kepada peradaban sejagat.

-- BERNAMA

 

(Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan pengarang dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425426